PERGERAKAN Pemuda UMNO mendesak agensi berkaitan Islam di Selangor supaya mengambil tindakan menghalang penganjuran program ‘Jom Ziarah Gereja’ didakwa anjuran sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Ketua Pemuda, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, adalah menjadi kesalahan jika orang bukan Islam menyebarkan fahaman kepercayaan orang bukan Islam kepada orang Islam.
Katanya, perkara itu terkandung dalam seksyen-seksyen kesalahan jenayah dalam Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 Selangor.
“Atas sebab ini saya mendesak sekeras-kerasnya agar pihak penganjur program lebih peka dan sensitif terhadap isu ini serta mengambil tindakan wajar untuk halang orang Islam untuk terlibat.
“Jika desakan ini tidak diendahkan, kami bukan sahaja tidak teragak-agak turun dan menghalang program ini dijalankan malah kami akan mengambil tindakan menyaman pihak penganjur dan pihak agensi berkaitan kerajaan kerana cuai dalam melaksanakan tanggungjawabnya,” katanya menerusi Facebook malam tadi.
Program ‘Jom Ziarah Gereja’ didakwa dirancang pada 18 Mac ini bertempat di sebuah gereja di Klang dan dibuka kepada golongan belia bukan beragama Kristian sepertimana satu poster yang viral menerusi media sosial sejak semalam.
Mengulas lanjut Dr. Akmal berkata, Islam merupakan agama rasmi negara ini maka sudah pasti diperuntukan undang-undang bagi memelihara kesucian agama itu dan kepercayaan penganutnya.
Katanya, pada masa yang sama kebebasan penganut agama lain dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Tapi kebebasan ini ada hadnya. Prinsipnya adalah setiap penganut perlulah bertanggungjawab dan tidak mengguris penganut-penganut agama lain. Dalam situasi ini penganut Islam.
“Selaras dengan Artikel 11 Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan membenarkan negeri-negeri mengawal atau menyekat
pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.
“Dalam erti kata lain adalah menjadi kesalahan jika orang bukan Islam menyebarkan fahaman kepercayaan orang bukan Islam kepada orang Islam.
“Sebelum kita mahu orang lain menghormati kita, kita terlebih dahulu perlu menghormati dan peka terhadap perkara yang terlalu sensitif di hati rakyat malaysia. Mohon tindakan segera diambil,” tegasnya. – Edisi 9

