30.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Suami isteri didakwa, suntik dadah dalam minuman

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEPASANG suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan menyuntik dadah dalam minuman.

Tertuduh, Lee Wui Khang, 34, dan isterinya, Pimanmart Chai Songkram, 30, didakwa atas enam pertuduhan bersama-sama mengedar pelbagai dadah dalam bentuk cecair yang disuntik di dalam minuman kultur dan jus, bulan lalu.

Pasangan yang menetap di Taman Krubong Perdana, Melaka itu mengangguk faham sejurus dibacakan semua pertuduhan itu dan diterangkan jurubahasa di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman, lapor Berita Harian pada Khamis.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan mahkamah bagi pertuduhan mengedar dadah kerana ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, mereka dituduh bersama-sama mengedar cecair ketamin anggaran berat (AB) 31,000 mililiter (ml), serbuk ketamin (AB: 229 gram), MDMA (AB: 229 gram), nimetazepam (AB: 144 gram), ketamin (AB: 96.69 gram) dan ketamin (25,100 ml).

Pada masa sama, Wui Khang berdepan pertuduhan berasingan mengedar dadah ketamin berat kasar 3,910 ml di tempat letak kereta di hadapan Pangsapuri Straits Emerald Tower, Jalan Merdeka Garden City, Melaka.

Advertisements

Dilaporkan, kejadian berlaku pada 20 Januari lalu, kira-kira jam 8.10 malam.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum berpandukan Seksyen 39B (2) akta sama, jika disabitkan boleh dihukum gantung sampai mati.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri, manakala pasangan terbabit masih belum diwakili peguam.

Pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana kesalahan itu tidak boleh diikat jamin sementara menunggu laporan kimia berat sebenar dadah.

Mahkamah kemudiannya menetapkan sebutan semula kes 15 Mac depan untuk mendapatkan laporan kimia berat dadah dan pengurusan kes. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Wanita perlu jaga darjat, jangan bergaduh kerana ‘buaya’

USAHAWAN selebriti, Datin Thalia Baiduri menitip pesan kepada semua wanita agar sentiasa menjaga darjat serta nilai diri masing-masing. Baginya tidak perlu...

Lagi Artikel Berkaitan