MENTERI Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu memberi jaminan usaha mencukupkan bekalan dan meningkatkan pengeluaran makanan diusahakannya untuk semua negeri, walaupun ditadbir pembangkang.
Beliau berkata, usaha tersebut adalah amanah dan kerja bersama.
Malah katanya, Kelantan yang ditadbir PAS, menjadi destinasi pertama lawatan kerja rasmi beliau kerana negeri itu sangat dekat di hatinya.
“Saya pernah menjadi Ahli Parlimen Nilam Puri dan Kubang Kerian. Hampir 10 tahun saya menetap dan berkhidmat di negeri ini.
“Walaupun sekarang kerajaan Kelantan diperintah oleh PAS tapi itu bukanlah penghalang untuk saya memberikan khidmat di negeri ini kerana semua orang memerlukan makanan.
“Apapun warna bendera kita atau ideologi kita, usaha untuk mencukupkan bekalan makanan dan meningkatkan pengeluaran makanan adalah amanah dan kerja kita bersama,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Terdahulu Mohamad mengadakan lawatan kerja rasmi selama tiga hari di Kelantan yang berakhir semalam. – Edisi 9