DAKWAAN bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan dibatalkan sekiranya kes positif Covid-19 gelombang Omicron XBB terus meningkat adalah palsu, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.
Kementerian itu berkata, kenyataan tersebut dimuatkan dalam Facebook My News pada 4 November lalu.
“Hantaran berkenaan tidak mencerminkan situasi sebenar serta boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” kata KKM menerusi Facebook hari ini.
KKM turut menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan berita yang sahih di media rasmi.
“KKM juga amat menghargai dan berterima kasih kepada orang ramai yang masih memakai pelitup muka ketika keluar dari rumah demi menjaga kesihatan diri sendiri, keluarga dan orang sekeliling,” katanya.
Pada 31 Oktober lalu, KKM memberi amaran bahawa Malaysia sedang berdepan dengan gelombang kecil Covid-19 varian Omicron XBB.
Khairy Jamaluddin yang ketika itu Menteri Kesihatan berkata, gelombang itu dijangka menyebabkan negara merekodkan peningkatan kes dalam beberapa minggu akan datang.
“Sama ada ia menjadi gelombang besar, ia bergantung kepada tingkah laku dan tindakan komuniti,” katanya ketika sidang akhbar perkembangan kes Covid-19.
Menurutnya, data harian menunjukkan bilangan kes baharu Covid-19 meningkat sebanyak 16.5 peratus, iaitu dari 14,525 kes pada minggu epidemiologi (ME) 42 kepada 16,917 kes pada ME 43 (23 hingga 29 Oktober).
-EDISI9