26.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 1, 2024

Ketepi perbezaan politik, jayakan pindaan akta pemandu mabuk

Mesti Baca

PERSIDANGAN Parlimen 13 Julai ini bakal menjawab teka-teki berhubung kelangsungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mengambil alih tampuk kerajaan Mac lalu.

Timbul desas-desus yang mendakwa Pakatan Harapan (PH) akan merampas semula pentadbiran kerajaan di sebalik kemelut pemilihan calon perdana menteri antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini belum lagi mengambil kira usul kerajaan untuk menukar Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Mohamad Ariff Md Yusof pada sesi persidangan yang berlangsung dari 13 Julai 2020 hingga 26 Ogos 2020.

Kecelaruan politik ini jelas hanya membantutkan lagi hasrat kerajaan dan rakyat untuk mempercepatkan pindaan akta berkaitan pemandu mabuk.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) berkaitan pemandu mabuk dan berbahaya akan dibentangkan pada sesi Parlimen dua minggu lagi.

Namun Draf Rang Undang-Undang itu perlu disahkan oleh Kabinet dan kemudiannya akan dibentangkan ke dalam persidangan Parlimen yang akan datang.

Oleh itu, sokongan Dewan untuk meluluskan undang-undang yang lebih tegas adalah penting bagi melindungi para pengguna jalan raya dan nyawa mereka.

Sudah tiba masa untuk memberi pengajaran tegas kepada pengguna jalan raya bagi menangani masalah pemanduan di bawah pengaruh dadah, alkohol atau pemanduan berbahaya.

Kita tidak mahu statistik kemalangan akibat pemandu mabuk sepanjang lima bulan tahun ini terus meningkat selepas merekodkan 21 kes berbanding 23 kes yang dicatatkan sepanjang tahun lalu.

KEMALANGAN jalan raya akibat pemandu mabuk memerlukan hukuman lebih berat. – GAMBAR FACEBOOK

Statistik ini bukan sahaja merisaukan rakyat malah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin turut menzahirkan perkara serupa.

Mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Advertisements

Bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan.

Justeru, pindaan ke atas Akta 333 itu diharap dapat menetapkan hukuman mandatori lebih berat dan setimpal terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kecederaan apatah lagi kematian kepada pengguna jalan raya yang lain.

Pindaan Akta 333 ini seharusnya dilihat sebagai usaha merentasi kepentingan kaum, agama dan politik terutamanya dalam memberi keadilan kepada keluarga mangsa.

Pensyarah Kanan Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Dr Shahidra Abdul Khalil dalam tulisannya di Berita Harian, statistik kemalangan akibat pemandu mabuk menjadi justifikasi tindakan tegas kerajaan.

Kemalangan jalan raya berpunca daripada pemandu mabuk bagi 2018, 2019 dan tahun ini mengakibatkan 29 kematian dan 41 kecederaan.

Ini menjadi justifikasi tindakan tegas kerajaan terhadap pemandu mabuk hingga menyebabkan kehilangan nyawa dan kecederaan kerana implikasi itu bukan hanya membabitkan mangsa dan keluarga, bahkan kepentingan awam.

Kesan kemalangan ialah kemusnahan dan kerosakan infrastruktur jalan yang menelan kos pembaikan daripada dana awam.

Justeru, pindaan Akta 333 wajar dimuktamadkan dengan penyelesaian menyeluruh termasuk tindakan pencegahan seperti meminda kadar alkohol dibenarkan daripada 80mg alkohol dalam 100ml darah kepada 50mg seperti ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Tanpa sokongan majoriti wakil rakyat di Parlimen, hasrat kerajaan untuk meminda Akta 333 akan terbantut sekali lagi dan mungkin berlarutan sehingga sebuah kerajaan yang stabil dibentuk.

Namun ia tidak mustahil dicapai sekiranya ahli Parlimen mengetepikan perbezaan dan matlamat politik mereka dengan mengutamakan hasrat rakyat.

Advertisements

Terkini

Kupang PD masih belum selamat dimakan, 81 penternak terjejas

KUPANG dari perairan Port Dickson, Negeri Sembilan masih belum selamat dimakan kerana masih menunjukkkan kandungan biotoksin yang tinggi. Jabatan Perikanan...

Lagi Artikel Berkaitan