27.3 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 1, 2024

PRN Melaka: 2 penganjur dikenakan kompaun langgar Akta 342

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan kompaun kepada penganjur program kerana didapati melanggar Akta 342 berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dihadiri dua pemimpin politik secara berasingan, baru-baru ini.

Penganjur program didapati telah melanggar Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana gagal memastikan pematuhan penjarakan fizikal oleh orang ramai yang hadir ke program tersebut.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan KKM berkata, kompaun bernilai RM20,000 ditawarkan kepada PN Melaka sebagai penganjur perhimpunan yang melibatkan kehadiran Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Manakala kompaun bernilai RM4,000 dikeluarkan kepada individu yang bertindak sebagai penganjur program yang dihadiri Penasihat Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak,” kata KKM.

Bagaimanapun, kata KKM, tiada aktiviti perhimpunan berkaitan PRN Melaka dalam dua program berasingan melibatkan Najib dan Muhyiddin.

Sebaliknya, siasatan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mendapati, aktiviti kedua-dua pemimpin itu lebih berbentuk ‘walkabout’.

Advertisements

Bagaimanapun, menurut KKM, kedua-dua penganjur program tetap dikenakan kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Kementerian berkata, pemantauan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), khususnya menjelang PRN Melaka, akan terus dilaksanakan sebagai langkah pencegahan penularan jangkitan COVID-19.

“KKM tidak akan teragak-agak mengeluarkan kompaun kepada mana-mana individu atau pertubuhan perbadanan yang melanggar SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“KKM menasihati agar masyarakat terus patuh kepada SOP dan menjalankan peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab dalam memerangi pandemik COVID-19 di Malaysia,” tegasnya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya tidak dibenarkan berkuat kuasa 25 Okt hingga 27 Nov.

Katanya, KKM mendapati, antara penyumbang kepada peningkatan kes dan kluster COVID-19 dalam negara adalah berkait dengan aktiviti perhimpunan atau majlis sosial yang tidak patuh SOP. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Kupang PD masih belum selamat dimakan, 81 penternak terjejas

KUPANG dari perairan Port Dickson, Negeri Sembilan masih belum selamat dimakan kerana masih menunjukkkan kandungan biotoksin yang tinggi. Jabatan Perikanan...

Lagi Artikel Berkaitan