28.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Rina janji Fendy Caliph Buskers pasti dapat bantuan

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun akan memastikan pemain dram kumpulan Caliph Buskers, Fendy Adlun yang terjejas pendapatan sejak negara dilanda wabak COVID-19 menerima bantuan sewajarnya daripada kerajaan.

Beliau turut meluangkan masa melawat Fendy yang juga orang kurang upaya (OKU) penglihatan di kediamannya di Sentul di sini, hari ini.

Rina berkata, Fendy memaklumkan keadaan dirinya yang terkesan dan memerlukan bantuan selepas hampir tiga bulan tidak mendapat sebarang pendapatan akibat pandemik yang melanda.

“Alhamdulillah, saya telah menyampaikan bantuan kewangan serta bantuan Bakul Makanan dan pek Ready to Eat buat saudara Fendy.

“Saya juga telah menguruskan permohonan untuk OKU di bawah inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) berupa Bantuan Kewangan Khas OKU seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun 2021 lalu,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Beliau menambah, ia merupakan bantuan yang diberikan untuk membantu golongan OKU yang telah kehilangan pekerjaan, ketiadaan kerja, dibayar separuh gaji atau diarahkan bercuti tanpa dibayar gaji dan bukan penerima bantuan Elaun Pekerja OKU atau bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedia ada.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu turut mendoakan agar segala urusan Fendy dipermudahkan dalam mendepani cabaran COVID-19.

Advertisements

“Saya juga ingin menyeru kepada semua golongan OKU yang berkelayakan di luar sana agar segera membuat permohonan bantuan yang disediakan oleh kerajaan demi kelangsungan dan kesejahteraan hidup,” jelasnya.

Memetik laporan Bernama, dua set dram yang sebelum ini menjadi punca mata pencarian Fendy telah dijual sebagai usaha untuk menampung perbelanjaan harian termasuk perbelanjaan anaknya yang juga OKU penglihatan.

Fendy berkata, dua set dram kesayangan yang dibelinya sekitar RM4,500 terpaksa dijual pada harga RM1,500-RM2,000 selepas wang simpanannya semakin berkurang.

“Saya agak terbeban untuk tampung sewa rumah, bil utiliti dan sebagainya sejak Januari 2020 bila tiada lagi persembahan dan hanya menggunakan duit simpanan untuk kelangsungan hidup.

“Sekarang saya ada buat ‘busking’ secara langsung setiap Sabtu pukul 9 malam menerusi Facebook dan YouTube dan ini juga antara usaha untuk jana pendapatan setakat apa yang saya mampu, kalau saya celik sudah tentu saya buat Foodpanda atau Grabfood,” katanya.

Semalam, tular sebuah video yang telah dimuat naik ke laman media sosial memaparkan pemuzik ini yang membuat pemakluman kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai bebanan yang sedang ditanggung dirinya untuk menyara anak perempuannya berikutan pandemik COVID-19. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah Tinggi kekal sabitan, hukuman terhadap Siti Bainun

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali...

Lagi Artikel Berkaitan