24.9 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

22,243 pekerja sektor pengangkutan udara mula terima vaksin

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Seramai 22,243 pekerja sektor pengangkutan udara dan berkaitan akan mula menerima suntikan vaksin mulai hari ini.

Ia berikutan pembukaan Pusat Pemberian Vaksinasi Industri (PPVIN) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di bawah Program Pemberian Vaksin bagi Sektor Pengangkutan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr We Ka Siong berkata, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan bekerjasama dengan beberapa syarikat industri penerbangan dalam program ini.

“Syarikat industri penerbangan tersebut terdiri Malaysia Airlines Berhad, Malindo, syarikat pengendalian darat AeroDarat, syarikat-syarikat penerbangan asing yang diwakili oleh Airline Operators Committee (AOC) dan pekerja kargo yang diselaraskan oleh Airfreight Forwarders Association of Malaysia (AFAM).

“Program vaksinasi ini akan dilaksanakan bermula hari ini sehingga 24 September 2021 di Anjung Tinjau, Terminal 1, KLIA dan akan beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 6 petang pada hari Isnin sehingga Jumaat,” katanya menerusi kenyataan media di sini.

Beliau berkata, PPVIN KLIA ini dibuka bertujuan mempermudahkan dan mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Advertisements

Sementara itu, Ka Siong berkata, bagi sektor pengangkutan darat yang melibatkan pengangkutan awam darat pula, beberapa PPV turut akan dibuka di beberapa lokasi di seluruh negara bagi memastikan 19,259 petugas rel dan pemandu bas dapat diberikan vaksinasi dalam masa terdekat.

Di samping itu, katanya, MOT bersama pihak Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) sedang menyelaraskan program vaksinasi kepada pemandu teksi, e-hailing, pemandu bas dan petugas penghantar barangan (p-hailing).

“Ia membabitkan jumlah keseluruhan dianggarkan 355,064 orang di seluruh negara.

“Program ini akan dilaksanakan di bawah PPV Awam dan kerajaan akan menanggung keseluruhan kos tersebut,” katanya.

Jelas beliau, MOT komited dan akan terus bekerjasama dengan CITF untuk menjayakan PICK, terutama dalam memastikan para petugas industri pengangkutan menerima vaksin secepat mungkin.

Program berkenaan adalah hasil kerjasama MOT; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Kerajaan Pusat lulus peruntukan RM1.59 bilion untuk Terengganu

KERAJAAN Persekutuan meluluskan peruntukan RM1.59 bilion di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi manfaat rakyat...

Lagi Artikel Berkaitan