26.1 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Sekatan jalan raya ditambah, 70,000 penguatkuasa pantau SOP

Mesti Baca

CYBERJAYA – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau total lockdown mulai Selasa ini amat penting untuk negara dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19 yang harı ini mencatatkan rekod baru dengan 9,020 kes.

Bagaimanapun jika pematuhan SOP terus diabaikan oleh orang ramai, pelaksanaan PKP penuh tidak akan membawa apa-apa makna, malah ia mungkin gagal menghalang pandemik itu ‘menggila’.

Justeru hari ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengumumkan, kementerian itu akan mengerahkan lebih 70,000 anggota penguat kuasa di bawah kementerian itu, termasuk 50,000 anggota dan pegawai polis (PDRM) bagi memperketatkan operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berikutan PKP penuh.

Katanya, pada masa ini seramai 37,000 anggota dan pegawai polis dikerah untuk melaksanakan pemantauan dan pematuhan SOP di seluruh negara.

Berikutan itu, kata beliau, kekuatan kekuatan anggota dan pegawai polis akan ditambah menjadikan jumlah keseluruhan 55,000 orang bagi memperketatkan penguatkuasaan SOP kelak.

HAMZAH ZAINUDDIN

Anggota penguatkuasa dari agensi lain termasuklah Jabatan Imigresen, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Penjara.

“Jika selepas dua minggu kita merasakan jumlah itu tidak mencukupi kita akan kerah lebih ramai kakitangan agensi di bawah KDN, termasuk dari Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK),” katanya di Putrajaya.

Selain itu kata beliau, polis juga akan meningkatkan bilangan sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara kepada lebih 800 berbanding hampir 600 sekarang.

Advertisements

Beliau berkata, pemeriksaan secara mengejut juga akan dilaksanakan oleh pasukan pemantauan pematuhan SOP dengan kerjasama kementerian dan agensi kerajaan berkaitan seperti MITI, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kerja Raya dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan pematuhan SOP dalam kalangan semua sektor sosial dan ekonomi.

“Anggota pasukan pemantauan pematuhan SOP akan dipertingkatkan kepada hampir 20,000 orang berbanding 13,795 orang ketika ini. Pemeriksaan juga akan melibatkan kawasan di luar bandar dan lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai berkumpul.

Selain OP Benteng, APMM dan pasukan polis marin akan digerakkan untuk memperketatkan pematuhan SOP dan kawalan sempadan, terutama di ‘laluan panas’ yang menjadi tempat pendaratan pendatang asing bagi mencegah kemasukan secara haram,” katanya.

Hamzah juga memaklumkanJabatan Imigresen bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan polis juga akan mempertingkatkan operasi penguatkuasaan secara bersepadu di kawasan penempatan warga asing di seluruh negara.

Beliau berkata, semua warga asing tanpa dokumen ditahan akan ditempatkan di depoh tahanan dan penjara satelit yang dibina oleh Jabatan Imigresen dan Jabatan Penjara di seluruh negara ketika ini.

“KDN menasihatkan agar semua pihak memberikan kerjasama dan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan perintah ‘lockdown’ kali ini.

”Tindakan tegas tanpa kompromi seperti kompaun akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati tidak mematuhi SOP di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342],” katanya.

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan