Monday, July 20, 2026

Diskaun 50 peratus bayaran tol sempena Tahun Baharu Cina

Kerajaan menanggung implikasi kewangan kira-kira RM19.5 juta bagi membayar balik pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat.

Mesti Baca

KERAJAAN bersetuju memberikan potongan 50 peratus daripada kadar tol biasa sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2026, bermula 12.01 tengah malam 14 Februari dan berakhir 11.59 malam, 15 Februari.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan oleh Mesyuarat Kabinet itu semalam diambil selaras dengan agenda Kerajaan Madani dalam menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan.

Beliau berkata, kerajaan menanggung implikasi kewangan kira-kira RM19.5 juta bagi membayar balik pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat.

“Pemberian diskaun tol 50 peratus ini diharap dapat meringankan beban kos perjalanan rakyat Malaysia yang merancang perjalanan untuk pulang ke kampung halaman bagi meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama ahli keluarga atau bercuti untuk menyambut awal Ramadan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexander berkata, inisiatif itu tertakluk kepada kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol serta Kelas 2 bagi Jambatan Pulau Pinang.

Bagaimanapun ia dikecualikan bagi plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan
(PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).

Beliau berkata, pemilihan tarikh tersebut bertujuan mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan selain mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan di sepanjang kawasan hentian sebelah serta kawasan rehat dan rawat (RSA) di lebuh raya.

“Semua pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkan pengurangan kadar tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Dalam pada itu, pengguna disarankan memuat turun aplikasi MyPLUSTTA dan TuJu Highway Navigation App LLM untuk mendapatkan cadangan jadual waktu perjalanan bagi meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan pemanduan.

Selain itu, katanya, semua pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi arahan papan tanda, had laju, dan maklumat yang dipaparkan di Variable Message System (VMS).

“Bagi mereka yang menggunakan lorong Smart Lane, anda
diminta memberi isyarat awal sebelum memasuki lorong tersebut, memandu dengan kelajuan ditetapkan, dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling,” katanya.

Pengguna juga disarankan menyemak status trafik semasa atau sebarang insiden di lebuh raya melalui saluran rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia di Facebook, aplikasi X, TikTok, atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752. – Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan