PENULIS dan penganalisis politik, Murray Hunter hari ini mengemukakan permohonan maaf terbuka serta menarik balik sepenuhnya semua komen dan artikel yang diterbitkannya berkaitan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Hunter dalam satu kenyataan berkata, dia dan MCMC telah mencapai satu persefahaman melalui perjanjian penyelesaian yang dimeterai antara kedua-dua pihak.
Dia mengakui bahawa beberapa komen dan artikel yang diterbitkan sebelum ini boleh ditafsirkan sebagai tidak tepat, mengelirukan serta menimbulkan salah faham, sekali gus berpotensi menjejaskan reputasi MCMC dan pihak-pihak berkaitan.
“Sehubungan itu, saya memohon maaf dan melahirkan rasa kesal sekiranya tindakan tersebut telah menyebabkan sebarang kerosakan kepada MCMC dan/atau pihak berkaitan. Saya juga menarik balik sepenuhnya semua komen dan artikel tersebut,” katanya.
Kenyataan itu turut menyenaraikan secara terperinci artikel-artikel yang terlibat seperti yang dimasukkan dalam Jadual 2 dan Jadual 3 Perjanjian Penyelesaian, melibatkan penerbitan di platform Substack, Eurasia Review serta media sosial X.
Sebahagian daripada artikel berkenaan turut menjadi subjek tindakan sivil di Mahkamah Tinggi Malaya, selain siasatan jenayah yang dilaporkan di Thailand.
Permohonan maaf dan penarikan balik tersebut menandakan penyelesaian rasmi terhadap pertikaian antara Hunter dan MCMC yang sebelum ini mendapat perhatian meluas pelbagai pihak.
Pada Oktober tahun lalu, MCMC berjaya dalam saman fitnah yang dikenakan ke atas Hunter, seorang penulis bebas.
Ini selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam memutuskan individu tersebut bersalah kerana menerbitkan kenyataan palsu dan berunsur fitnah terhadap suruhanjaya tersebut.
Menurut MCMC, Hunter telah didapati menerbitkan beberapa siri artikel yang mengandungi kenyataan palsu dan berunsur fitnah terhadapnya antara April dan November tahun lalu.
Katanya, penerbitan itu membawa tuduhan serius dan tidak berasas yang telah mengelirukan orang awam serta merosakkan reputasi MCMC. — Edisi 9

