SERAMAI 1,891 orang tampil menyuarakan pandangan dalam Perundingan Awam Kebangsaan 2025 sempena semakan Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia, sekali gus mencerminkan tahap kesedaran awam yang semakin tinggi terhadap keselamatan dan etika kandungan digital negara.
Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) dalam laporannya memaklumkan, perundingan selama dua bulan bermula 8 September hingga 7 November lalu itu didominasi golongan belia dengan 908 penyertaan, menjadikan kumpulan tersebut penyumbang terbesar kepada proses semakan berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood berkata, penglibatan aktif golongan muda membuktikan keprihatinan mereka terhadap risiko dalam talian, khususnya berkaitan kecerdasan buatan (AI), keselamatan kanak-kanak dan kebertanggungjawaban platform digital.
“Perundingan awam ini merupakan ujian ketahanan bagi setiap peruntukan dalam Kod Kandungan. Sokongan dan maklum balas terperinci menunjukkan rakyat Malaysia semakin peka terhadap bagaimana ruang kandungan mereka dibentuk,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Menurut laporan itu, antara keutamaan utama yang diketengahkan orang ramai ialah keperluan kawal selia lebih jelas terhadap penggunaan AI, termasuk pelabelan kandungan, tanggungjawab individu dan obligasi realistik ke atas platform digital.
Isu perlindungan kanak-kanak turut menjadi tumpuan, khususnya keperluan langkah lebih tegas dalam menangani Bahan Penderaan Seksual Kanak-kanak (CSAM), selain penegasan bahawa data kanak-kanak tidak wajar dieksploitasi untuk tujuan pemasaran.
Selain itu, responden turut menuntut standard kandungan yang lebih adil dan inklusif, merangkumi representasi kumpulan minoriti, Orang Asli serta penggunaan bahasa yang hormat terhadap golongan orang kurang upaya.
Pengerusi CMCF, Datuk Rafiq Razali pula berkata, dapatan perundingan tersebut membuktikan bahawa tadbir urus kandungan masa depan tidak lagi hanya digerakkan oleh pembuat dasar dan industri, sebaliknya turut dibentuk oleh suara rakyat.
“Semakan Kod Kandungan akan menghasilkan dokumen yang lebih inklusif, futuristik dan seimbang antara kebebasan bersuara dengan akauntabiliti dan rasa hormat,” katanya.
CMCF memaklumkan, dapatan perundingan itu kini menjadi asas kepada proses penggubalan akhir Kod Kandungan yang disemak semula, dengan jangkaan peruntukan baharu akan memperkukuh perlindungan pengguna serta ekosistem dalam talian yang lebih selamat dan beretika. — Edisi 9

