Friday, June 5, 2026

BN dapat tambahan dua menteri, satu timbalan menteri

Dua menteri berkenaan ialah Noraini Ahmad yang dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi serta Arthur Joseph Kurup sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Mesti Baca

BARISAN Nasional (BN) mendapat tambahan dua jawatan menteri penuh dalam rombakan Kabinet sepertimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Dua jawatan menteri dari BN yang baharu ialah Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi serta Datuk Seri Arthur Joseph Kurup yang memegang portfolio Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Sebelum ini Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia adalah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sementara Arthur yang juga Presiden PBRS adalah Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Dalam pada itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pula mendapat portfolio lebih kanan apabila dilantik sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

Beliau yang sebelum itu adalah Menteri Perladangan dan Komoditi mengisi kekosongan ditinggalkan oleh Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abd Aziz yang menamatkan tempoh dua penggal sebagai Senator.

Dengan pertambahan tersebut, BN kini mempunyai lapan menteri penuh dan lima timbalan menteri, termasuk Datuk Mohd Shahar Abdullah yang kembali dalam Kabinet sebagai Timbalan Menteri Ekonomi.

Mengulas pelantikan tersebut, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan bahawa dalam kerajaan, kesinambungan dasar dan semangat kebersamaan adalah kunci.

Ini kerana tegas beliau, matlamatnya adalah tetap satu iaitu untuk membina sebuah negara yang lebih makmur, stabil dan sejahtera demi kepentingan semua rakyat Malaysia.

“Insya-Allah, dengan iltizam yang diperbaharui dan pasukan Kabinet yang diperkukuh, saya doakan agar kita dapat terus melangkah ke hadapan dan bersama memberikan yang terbaik untuk rakyat Malaysia,” katanya menerusi Facebook beliau.

Pengerusi BN itu turut mengingatkan agar amanah yang diterima tersebut dapat dipikul dengan penuh dedikasi demi kemajuan Malaysia.

Berikut senarai penuh menteri dan timbalan menteri dari BN:

MENTERI:

  1. Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi – Timbalan Perdana Menteri/Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah
  2. Datuk Seri Mohamad Hasan – Menteri Luar Negeri
  3. Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin – Menteri Pertahanan
  4. Datuk Seri Johari Abd Ghani – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
  5. Datuk Seri Dr Noraini Ahmad – Menteri Perladangan dan Komoditi
  6. Datuk Seri Arthur Joseph Kurup – Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam
  7. Datuk Seri Azalina Othman Said – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi)
  8. Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir – Menteri Pendidikan Tinggi

TIMBALAN MENTERI:

  1. Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad – Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air
  2. Datuk Seri Dr Ahmad Maslan – Timbalan Menteri Kerja Raya
  3. Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah – Timbalan Menteri Dalam Negeri
  4. Datuk Mohamad Alamin – Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi
  5. Datuk Mohd Shahar Abdullah – Timbalan Menteri Ekonomi — Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan