Friday, June 5, 2026

Hampir 400,000 pelajar sertai KIS tahun ini – MCMC

Pencapaian tahun ini turut merangkumi pelaksanaan program di IPT seperti kolej, IPT awam dan Institut Pendidikan Guru...

Mesti Baca

SERAMAI 369,005 orang pelajar telah menyertai Kempen Internet Selamat (KIS) anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) setakat 30 November lalu.

MCMC dalam kenyataannya berkata, secara keseluruhannya sebanyak 8,462 sekolah di seluruh negara telah terlibat dalam kempen tersebut.

“Melalui pelaksanaan ini, mesej keselamatan KIS berjaya menjangkau lebih 80 peratus sekolah di seluruh negara merangkumi sekolah rendah, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah menengah, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman serta Sekolah Kurang Murid (SKM),” kata kenyataan itu.

MCMC berkata, pencapaian tahun ini turut merangkumi pelaksanaan program di institusi pendidikan tinggi (IPT) seperti kolej, IPT awam dan Institut Pendidikan Guru, melibatkan 61 program dengan penyertaan seramai 20,190 peserta.

Pencapaian KIS juga, katanya, hasil kerjasama pelbagai pihak khususnya Kementerian Pendidikan yang memberikan sokongan bagi membolehkan kempen tersebut  dilaksanakan di sekolah-sekolah seluruh negara.

Selain itu,  peranan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan badan-badan lain seperti Persekutuan Pengakap Malaysia dan BAKAT yang turut membantu menyebarkan mesej kempen dengan lebih meluas dalam tempoh yang ditetapkan.

“Bagi memastikan mesej keselamatan Internet sampai kepada masyarakat umum, KIS turut diperluas kepada komuniti, agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan masyarakat yang melibatkan 466 program dan 287,939 peserta,” katanya.

MCMC berkata, untuk tahun depan, pelaksanaan KIS terus difokuskan di sekolah-sekolah dan IPT serta memperluas jangkauan kepada pengguna Internet yang lain seperti warga emas, belia dan ibu bapa.

Semalam, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil merasmikan Penutupan Karnival Mega sempena Kempen Internet Selamat (KIS) 2025 di Pusat Pameran dan Konvensyen IOI City Mall.

Acara kemuncak KIS itu menampilkan pelbagai aktiviti utama seperti Pertandingan Peringkat Akhir Debat KIS antara IPT yang julung-julung kali diadakan dan Forum “Internet Selamat, Tanggungjawab Semua.”

Turut diadakan pameran keselamatan dalam talian oleh pelbagai agensi kerajaan, syarikat telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan dalam talian seperti Google, TikTok, Meta serta Tencent.

Turut dianjurkan ialah aktiviti interaktif di reruai yang berjaya menarik kehadiran hampir 3,000 orang pengunjung. — Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan