ASRAMA Yayasan Terengganu Kemaman (AYTK) yang diwujudkan bagi menempatkan para pelajar miskin dari luar bandar sejak hampir 40 tahun lalu akan ditutup mulai tahun depan.
Menurut kenyataan Yayasan Terengganu (YT), penutupan asrama tersebut bagi memberi laluan pembukaan sekolah menengah imtiaz swasta.
YT berkata, keputusan itu dibuat bagi memenuhi keperluan pendidikan semasa ekoran pemintaan ke sekolah imtiaz kini mencecah 5,000 permohonan setahun.
“Ini adalah keputusan Lembaga YT untuk membangunkan sekolah imtiaz swasta bagi menampung keperluan permintaan tinggi tersebut,” kata YT dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini tular satu salinan notis penutupan AYTK yang akan bermula tahun depan, sehingga mencetuskan kebimbangan nasib para pelajar yang ditempatkan di asrama tersebut.
Untuk rekod AYTK ditubuhkan pada tahun 1986 bertujuan menyediakan kemudahan asrama dan pembelajaran yang lebih baik kepada para pelajar luar bandar yang berpotensi untuk di tempatkan di sekolah terpilih.
YT berkata, semua asrama YT di daerah lain sebelum ini telah dijadikan sekolah menengah imtiaz sepenuhnya selaras dengan perkembangan sistem pendidikan negeri.
“AYTK merupakan satu-satunya asrama YT yang masih beroperasi dalam bentuk asal dan telah dikenal pasti sebagai lokasi paling sesuai untuk dinaik taraf kepada sekolah menengah imtiaz swasta.
“Kawasan AYTK turut mempunyai tanah kosong seluas 10 ekar yang berpotensi membolehkan pembinaan fasiliyi baharu bagi menampung kapasiti antara 700 hingga 800 pelajar,” katanya.
YT berkata, AYTK juga kini sudah tidak relevan memandangkan pembangunan pendidikan telah berkembang pesat dan sekolah-sekolah menengah kini wujud di hampir setiap daerah.
Katanya, ini sekaligus menjadikan fungsi asal asrama tersebut tidak kritikal seperti dahulu.
“Peruntukan khas Kerajaan Persekutuan bagi penyeliaan asrama luar bandar juga telah dihentikan, menjadikan penstrukturan semula ini satu langkah penting bagi kelangsungan pembangunan pendidikan di Kemaman,” katanya. – Edisi 9

