Sunday, July 19, 2026

8.6 juta rakyat terima bayaran STR Fasa 3 mulai 12 Ogos

Bayaran sehingga RM650 bagi fasa tersebut membabitkan peruntukan sebanyak RM2 bilion bagi meringankan beban kos sara hidup isi rumah berpendapatan rendah.

Mesti Baca

SERAMAI 8.6 juta rakyat bakal menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 mulai esok.

Bayaran sehingga RM650 bagi fasa tersebut membabitkan peruntukan sebanyak RM2 bilion bagi meringankan beban kos sara hidup isi rumah berpendapatan rendah.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, jumlah itu merupakan peningkatan seramai 300,000 berbanding 8.3 juta penerima Fasa 1 pada Januari lalu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, peningkatan itu hasil daripada langkah Kerajaan MADANI membuka permohonan baharu dan rayuan sepanjang tahun bagi memastikan bantuan sampai kepada semua yang layak.

“Pembukaan permohonan dan rayuan sepanjang tahun menunjukkan Kerajaan MADANI tidak mengambil enteng amanah yang dipikul untuk meningkatkan maslahat rakyat terbanyak, agar tiada yang tercicir daripada mengecapi limpahan negara.

Perbandingan bayaran STR Fasa 3 bagi tahun 2024 dan 2025.

“Lebih daripada bantuan tunai semata-mata, STR memberi suntikan kepada penerima untuk mencapai kebebasan kewangan, agar kita dapat menggapai kesaksamaan yang didambakan dalam Ekonomi MADANI,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.

Anwar berkata, pemberian STR Fasa 3 akan dibuat kepada penerima sedia ada dan penerima baharu yang berdaftar dalam pangkalan data STR melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan masing-masing.

Pembayaran STR Fasa 3 mengikut kategori kelayakan.

“Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan,” kata beliau.

Soalan lazim (FAQ) dan semakan status kelayakan STR boleh didapati di Portal Rasmi STR, melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my

Orang awam dinasihatkan agar sentiasa berwaspada terhadap pautan tidak sahih yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat mengenai STR. — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan