POLIS Diraja Malaysia (PDRM) memberi laluan kepada orang ramai untuk menyertai himpunan “Turun Anwar” di Dataran Merdeka esok sebagai menghormati hak rakyat untuk menyuarakan pandangan dan berhimpun secara aman dan tertib.
Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menasihat para peserta himpunan agar sentiasa peka terhadap peruntukan undang-undang sedia ada serta memelihara ketenteraman di kawasan sekitar.
Beliau berkata, menjadi harapan PDRM agar setiap suara yang dizahirkan dapat disampaikan dalam suasana yang saling menghormati dan berlandaskan nilai kesopanan serta adab masyarakt Malaysia.
“Sebagai sebuah agensi penguatkuasaan yang sentiasa menjunjung Perlembagaan Persekutuan, PDRM menghormati hak rakyat untuk menyuarakan pandangan serta berhimpun secara aman dan tertib, selaras dengan nilai-nilai demokrasi yang diamalkan di negara ini.
“Dalam semangat tersebut, PDRM komited untuk memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi memastikan perhimpunan ini dapat dilaksanakan dengan lancar, selamat dan menghormati ruang awam yang dikongsi bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas mengenai himpunan “Turun Anwar” yang dianjurkan oleh parti-parti politik pembangkang di Dataran Merdeka, esok.
Mohd Khalid berkata, bagi orang ramai yang tidak terlibat secara langsung dalam perhimpunan tersebut diminta agar merancang perjalanan memandangkan aliran trafik dijangka mengalami sedikir perubahan.
“Dalam melaksanakan amanah menjaga keselamatan negara, PDRM ingin memberi jaminan bahawa keselamatan awam akan terus dipelihara.
“Pada masa yang sama, hak-hak kebebasan rakyat akan tetapi dihormati,” katanya.
Justeru, beliau berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama dalam memelihar undang-undang secara bersama. – Edisi 9

