Tuesday, July 21, 2026

Jerebu rentas sempadan: Sembilan kawasan rekod IPU tak sihat

Terdapat 40 titik panas dikesan di Sumatera, 64 di Kalimantan dan 19 dikesan di dalam negara iaitu 12 di Sabah, masing-masing tiga di Pahang dan Sarawak dan satu di Selangor.

Mesti Baca

ISU jerebu rentas sempadan mula dirasakan apabila Indeks Pencemar Udara (IPU) mengesan sembilan kawasan mencatatkan status udara tidak sihat hari ini.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, sembilan kawasan terbabit ialah Cheras yang merekodkan IPU 132, Banting (135), Nilai (138), Seremban (155), Alor Gajah (157), Temerloh (152), Balok Baru Kuantan (152), Kemaman (153) dan Johan Setia di Selangor dengan IPU 152.

“Kemerosotan kualiti udara di kebanyakan kawasan terlibat masih dipengaruhi jerebu rentas sempadan.

“Selain itu, terdapat insiden kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah (TPS) Jerangau-Jabor, Sungai Karang, Kuantan, Pahang yang menyebabkan bacaan IPU tidak sihat di Balok Baru Kuantan dan Kemaman, Terengganu,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Abdul Latiff berkata, berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura semalam, terdapat 40 titik panas dikesan di Sumatera, 64 di Kalimantan dan 19 dikesan di dalam negara iaitu 12 di Sabah, masing-masing tiga di Pahang dan Sarawak dan satu di Selangor.

Beliau berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan-kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari masa ke semasa.

Katanya, Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan telah diaktifkan bagi menyelaras tindakan-tindakan agensi Kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara.

Pada masa yang sama, semua pemilik tanah dinasihatkan supaya memantau secara rapi kawasan-kawasan yang mudah dan sering terbakar.

Ini termasuk tapak pelupusan sampah,hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri serta mengambil langkah-langkah untuk mencegah pencerobohan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka sama ada untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan