JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menahan seramai 89 warga asing termasuk empat warga tempatan dalam serbuan di tiga lokasi di sekitar ibu negara, Rabu lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam Ops Gagar di tiga lokasi sekitar Kuchai, Sri Petaling dan Cheras itu, dua premis telah diserbu pada pukul 3 petang kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pelacuran wanita warga asing.
Beliau berkata, dalam serbuan tersebut seramai 26 wanita warga asing ditahan kerana disyaki menawarkan perkhidmatan seks.
Mereka terdiri daripada enam wanita warga Thailand, Indonesia (lapan), Vietnam (11) manakala seorang wanita warga Myanmar.
“Turut ditahan dua lelaki warga Bangladesh dan Pakistan kerana disyaki berkerja di premis tersebut.
“Manakala empat lelaki warga tempatan juga ditahan kerana disyaki sebagai penjaga “kapten” premis tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, kegiatan yang berselindung di sebalik premis hotel murah itu menawarkan wanita warga Thailand, Vietnam, Myanmar dan Indonesia bagi tujuan seks dengan harga antara RM160 hingga RM480.
Beliau berkata, modus operandi sindiket ini adalah dengan mempromosikan perkhidmatan di laman sesawang dan pelanggan akan melanggan melalui aplikasi Whatsapp dan Telegram sebelum diarahkan ke lokasi tersebut.
Sementara itu dalam serbuan pada 10.55 malam pula mensasarkan sebuah pusat hiburan yang menawarkan pelayan pelanggan (GRO) wanita warga asing.
Beliau berkata, dalam serbuan tersebut seramai 96 individu telah diperiksa dan seramai seramai 61 warga asing ditahan.
Mereka terdiri daripada 44 wanita warga Thailand, Vietnam (dua), Laos (3empat) dan dua wanita Myanmar yang disyaki bekerja sebagai GRO.
Turut ditahan lima lelaki warga Bangladesh dan empat lelaki warga Thailand yang disyaki berkerja di premis tersebut telah ditahan.
Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut.
Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan- Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Pasport 1966.
Seramai tujuh warganegara tempatan juga turut dikeluarkan Notis untuk hadir bagi membantu siasatan.
Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). — Edisi 9

