SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenal pasti beberapa saluran dalam talian yang didapati melakukan penyebaran kandungan yang memudaratkan menerusi platform media sosial.
Menurut suruhanjaya itu, pendekatan secara rundingan telah dilaksanakan bersama penyedia platform media sosial bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan sedia ada.
“Namun, tahap pematuhan masih berada pada paras yang mengecewakan meskipun pelbagai usaha telah digerakkan.
“Pihak MCMC akan terus mengambil tindakan tegas, termasuk langkah perundangan, terhadap mana-mana penyedia platform media sosial yang gagal mematuhi peraturan negara,” kata kenyataan itu hari ini.
MCMC berkata, antara kandungan yang memudaratkan itu termasuk maklumat palsu, kandungan jelik serta elemen berunsur ancaman yang boleh menggugat ketenteraman awam.
Agensi itu berkata, tindakan tegas itu penting bagi memastikan ekosistem digital negara kekal selamat, berintegriti serta mematuhi kerangka perundangan sedia ada.
Tambah MCMC, pihaknya komited dalam memastikan rakyat dilindungi daripada kandungan berbahaya dan internet digunakan secara beretika serta memberi manfaat kepada semua pihak.
MCMC turut menyeru semua pengguna dan penyedia platform agar memainkan peranan masing-masing dalam memastikan ruang siber negara tidak disalahgunakan untuk tujuan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan kestabilan negara. – Edisi 9

