Friday, June 5, 2026

Prof Dr Sufian Jusoh dilantik Naib Canselor ke-14 UKM

Beliau merupakan tokoh terkemuka dalam bidang integrasi ekonomi multilateral dan serantau serta undang-undang antarabangsa.

Mesti Baca

UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) melakar sejarah baharu apabila Prof. Dr. Sufian Jusoh diumumkan sebagai Naib Canselor ke-14 universiti itu berkuat kuasa 5 Jun bagi tempoh dua tahun.

Pelantikan beliau diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan hari ini, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai calon yang bakal menerajui UKM bagi penggal akan datang.

Prof. Dr. Sufian, 57, merupakan tokoh terkemuka dalam bidang integrasi ekonomi multilateral dan serantau serta undang-undang antarabangsa.

“Beliau memulakan pengajian tinggi di University of Wales dalam bidang Undang-undang dan seterusnya melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana di University College London pada tahun 2003,” kata kenyataan itu.

Katanya, minat mendalam terhadap bidang perundangan mendorong beliau menamatkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Undang-undang Ekonomi Antarabangsa dari University of Bern, Switzerland pada tahun 2010 dengan pengiktirafan tertinggi summa cum laude.

Sebelum dilantik menerajui UKM, beliau merupakan Pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), UKM sejak tahun 2018.

“Sepanjang tempoh tersebut, beliau memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan UKM sebagai pusat penyelidikan yang disegani dalam dan luar negara,” kata KPT.

Beliau turut memegang peranan penting dalam projek Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN 2025 serta Keberhasilan Utama Ekonomi sempena Kepengerusian Malaysia bagi ASEAN 2025, yang dilaksanakan di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta KPT.

Selain itu, beliau juga merupakan perwakilan Malaysia bagi Economic Research Institute for ASEAN and East Asia (ERIA) sejak 2022.

KPT dalam kenyataannya yakin pelantikan Prof. Dr. Sufian akan memacu kecemerlangan UKM ke tahap lebih tinggi, selari dengan hasrat melahirkan graduan holistik, berdaya saing dan berpaksikan nilai kebangsaan.

“Beliau diyakini mampu meneruskan kesinambungan pemerkasaan pembangunan akademik dan penyelidikan berdasarkan acuan nasional serta membentuk graduan yang kreatif, inovatif dan berjati diri tinggi,” katanya.

Pada masa sama, KPT turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Naib Canselor, Prof. Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman atas segala jasa dan sumbangan beliau sepanjang menerajui UKM sebelum ini. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan