AKTIVITI penyewaan homestay haram yang dijalankan warga asing di ibu kota terbongkar apabila diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu Operasi Khas di dua lokasi sekitar Jalan Ipoh dan Jalan Sultan Ismail, kelmarin.
Dalam serbuan kira-kira jam 2.57 petang itu, 13 warga asing termasuk empat wanita ditahan selepas disyaki menjadi ‘ejen homestay’ yang beroperasi secara tidak sah sejak setahun lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Imigresen, Ismail Mokhtar berkata, operasi dilakukan hasil maklumat awam dan risikan selama dua minggu oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Beliau berkata, mereka yang ditahan tersiro daripada sembilan lelaki dan seorang wanita warga Bangladesh, seorang lelaki Indonesia, seorang wanita India dan seorang wanita Filipina yang kesemuanya berusia antara 24 hingga 40 tahun.
“Siasatan mendapati enam daripada mereka memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sah dalam sektor pembinaan dan pembersihan, manakala selebihnya tidak mempunyai sebarang dokumen sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail berkata, turut disita salinan perjanjian sewa rumah, empat pasport Bangladesh, pasport Indonesia dan India, 48 kad akses, komputer riba, tiga telefon bimbit, borang maklumat tetamu homestay, serta wang tunai RM74,000 dan USD2,160.
Difahamkan, kumpulan itu menyewa unit kediaman milik warga tempatan sebelum mengiklankannya di laman sesawang untuk disewa sebagai homestay dengan harga antara RM80 hingga RM400 satu malam, bergantung kepada saiz dan lokasi bilik.
“Pelanggan membuat tempahan secara dalam talian dan akan diuruskan sepenuhnya oleh warga asing terbabit,” katanya.
Menurut beliau, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.
Selain itu, enam warga tempatan dan seorang lelaki warga Bangladesh turut dipanggil untuk membantu siasatan selepas dikenal pasti sebagai pemilik atau penyewa asal premis.
JIM menegaskan pihaknya akan terus mempergiat operasi dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang termasuk di bawah Akta Pasport 1966, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dan Akta Imigresen 1959/63. – Edisi 9

