MALAYSIA terus memperkukuh komitmen untuk mewujudkan persekitaran digital yang selamat, inklusif dan dipercayai melalui pelbagai inisiatif bersifat menyeluruh dan berpaksikan rakyat, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Berucap pada Sesi Keempat Mesyuarat Menteri-Menteri Telekomunikasi Asia-Pasifik (APT) di Tokyo hari ini, beliau menegaskan, dalam dunia yang semakin saling berhubung, keselamatan siber bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan untuk melindungi kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.
“Menjamin persekitaran digital yang selamat dan dipercayai adalah penting demi kestabilan ekonomi serta keselamatan warganet, khususnya generasi muda,” ujar beliau di hadapan para menteri dan delegasi dari rantau Asia-Pasifik.
Beliau berkata, antara inisiatif utama yang diketengahkan Malaysia ialah Kempen Keselamatan Internet, yang memberi tumpuan kepada lima isu utama iaitu penipuan dalam talian, perjudian dalam talian, buli siber, penyebaran bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM) serta penyalahgunaan media sosial oleh kanak-kanak di bawah umur 13 tahun.
Fahmi berkata, kempen tersebut turut diperluas melalui Jelajah Keselamatan Internet yang bermula Januari lalu, dengan forum interaktif dan sesi libat urus bersama pelajar dan komuniti setempat.

“Dalam usaha mempertingkatkan kebertanggungjawaban platform digital, kerajaan telah memperkenalkan Kerangka Peraturan baharu yang mewajibkan semua penyedia perkhidmatan pemesejan internet dan media sosial dengan lebih 8 juta pengguna di Malaysia untuk memohon Lesen Kelas Penyedia Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)).
“Dasar ini, yang berkuat kuasa sejak Januari 2025, dilengkapi dengan pelaksanaan Kod Tingkah Laku (CoC) bagi memastikan platform seperti WhatsApp, Facebook, Instagram, X dan TikTok mengamalkan penyeliaan kandungan yang bertanggungjawab,” katanya.
Selain itu, tambah beliau, Malaysia turut mengetuai penyediaan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Penggunaan Media Sosial yang Selamat dan Bertanggungjawab yang telah disokong dalam Persidangan Menteri-Menteri ASEAN Bertanggungjawab terhadap Maklumat (AMRI) ke-17 baru-baru ini dan bakal dimeterai secara rasmi pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 Oktober nanti.
Fahmi turut memaklumkan bahawa Malaysia sedang merangka Kit Alat ASEAN untuk Keselamatan Dalam Talian, sebagai dokumen panduan serantau bagi menangani ancaman maklumat palsu, disinformasi dan eksploitasi dalam talian.
Katanya, dalam menangani penyebaran maklumat palsu, Malaysia tampil proaktif melalui Sebenarnya.my, sebuah portal semakan fakta dengan purata 2.2 juta lawatan bulanan.
“Inisiatif ini turut diperkasa dengan pengenalan chatbot AIFA, yang membolehkan pengguna menyemak kesahihan berita secara langsung melalui WhatsApp dan laman web,” katanya.
Sehingga Mac lalu, AIFA tersebut telah memproses lebih 84,000 mesej dengan purata harian mencecah 1,300 mesej sekali gus membuktikan keberkesanannya dalam mengekang penularan berita palsu.
“Malaysia komited untuk terus bekerjasama rapat dengan negara-negara serantau dalam membentuk komuniti digital yang selamat, mampan dan berpaksikan rakyat,” tegasnya.
Mesyuarat tersebut turut disertai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun, Murakami Seiichiro; Setiausaha Agung APT, Masanori Kondo dan Pengarah Biro Pembangunan Telekomunikasi ITU, Dr. Cosmas Luckyson Zavazava. – Edisi 9

