Tuesday, July 21, 2026

APAD batal lesen syarikat lori korbankan 9 anggota FRU

Syarikat terbabit gagal mematuhi pelbagai peraturan keselamatan termasuk menggunakan sistem GPS yang rosak dan tamat tempoh serta membawa muatan tidak mengikut permit

Mesti Baca

AGENSI Pengangkutan Awam Darat (APAD) bertindak tegas membatalkan lesen sebuah syarikat pengendali lori yang terbabit dalam kemalangan ngeri sehingga mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Sungai Lampam, Langkap, Teluk Intan baru-baru ini.

Dalam insiden pada 13 Mei lalu, sebuah lori muatan batu kerikil milik Tashveen Trading merempuh trak yang membawa 18 anggota FRU dari Unit 5 Sungai Senam, Ipoh.

Kemalangan tragik itu turut mengakibatkan beberapa anggota lain parah.

Menurut APAD, siasatan mendapati syarikat terbabit gagal mematuhi pelbagai peraturan keselamatan termasuk menggunakan sistem GPS yang rosak dan tamat tempoh, membawa muatan tidak mengikut permit, serta mengabaikan keselamatan jalan raya.

“Syarikat juga gagal memberikan akses kepada rekod penting seperti yang diwajibkan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715),” kata APAD dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Penggantungan dan Pembatalan Lesen (JPPL) pada 29 Mei, APAD memutuskan untuk membatalkan Lesen Pengendali 201403193195 milik Tashveen Trading berkuat kuasa serta-merta.

Kata APAD, pembatalan lesen itu bermakna syarikat terbabit tidak lagi dibenarkan mengendali atau menggunakan sebarang kenderaan yang dilesenkan di bawah lesen terbabit.

“APAD tidak akan berkompromi terhadap sebarang kelalaian yang boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya. Keselamatan adalah keutamaan kami,” katanya.

Dalam masa sama, APAD turut mengingatkan semua pengendali perkhidmatan pengangkutan darat agar sentiasa mematuhi syarat lesen, atau berdepan tindakan tegas termasuk pembatalan lesen.

“Kami komited untuk mewujudkan sistem pengangkutan awam yang selamat, cekap dan berdaya saing demi kesejahteraan rakyat, selaras dengan prinsip Malaysia MADANI,” tambah kenyataan itu. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan