KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) menjelaskan pengoperasian sekolah sewaktu bulan Ramadan berjalan seperti biasa iaitu sama seperti tahun-tahun sebelumnya.
Menurut KPM, pihaknya masih mengguna pakai Surat Siaran KPM Bilangan 3 Tahun 2022 yang mana sekolah sesi petang yang mempunyai murid dan guru beragama
Islam akan menamatkan sesi persekolahan seawal jam 5.30 petang bagi negeri-negeri di Semenanjung.
Manakala bagi negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula pada jam 5.00 petang sementara sesi pagi akan bersekolah seperti biasa.
“Semua Pengarah Bahagian dan Pengarah Pendidikan Negeri diminta untuk mengingatkan pengetua dan guru besar institusi pendidikan bawah KPM supaya mematuhi surat siaran tersebut,” kata kenyataan malam ini.
Sebelum ini pelbagai pihak “melenting” apabila Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilapor tidak bercadang untuk memendekkan waktu persekolahan dan menutup kantin sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
Beliau berkata, sesi persekolahan akan berlangsung seperti biasa mengikut garis panduan sedia ada.
“Ramadan (waktu) sekolah macam biasa. Nak balik awal kenapa? Bukan boleh buka puasa awal.
“Setakat ini ada garis panduan, jadi kita minta semua untuk rujuk garis panduan tersebut. Kita ambil maklum sekiranya ada keperluan khas isu tertentu,” katanya seperti dilapor media siang tadi.
KPM berkata, pihaknya mengambil serius hantaran tidak bertanggungjawab yang cuba ditularkan oleh sesetengah pihak dalam laman media sosial berkenaan pengoperasian sekolah dalam bulan Ramadan pada tahun ini.
Sehubungan iitu, KPM menasihatkan orang awam untuk sentiasa merujuk kepada maklumat rasmi Kementerian dan tidak terpengaruh dengan hantaran media sosial berniat jahat yang cuba untuk mengelirukan masyarakat. – Edisi 9

