
DALAM sebuah negara yang berbilang kaum seperti Malaysia, setiap dasar yang diperkenalkan haruslah mengambil kira keseimbangan antara menjaga sensitiviti agama dan memelihara keharmonian masyarakat.
Namun, apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengumumkan rancangan untuk memuktamadkan garis panduan baharu berkaitan penglibatan orang Islam dalam majlis perayaan dan upacara bukan Islam, timbul persoalan besar.
Adakah ini satu usaha menambah baik atau satu lagi sekatan yang bakal meretakkan perpaduan rakyat?
Ahli Parlimen Ayer Hitam dari MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, dengan lantang mempersoalkan kewajaran garis panduan ini.
Beliau menyatakan kebimbangan bahawa peraturan sedemikian boleh mewujudkan kekeliruan dan ketegangan.
Inj terutamanya bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga beragama Islam dan bukan Islam dalam satu institusi kekeluargaan yang sama.
Jika seseorang yang beragama Islam ingin hadir ke majlis pengebumian saudara kandungnya yang bukan Islam, adakah perlu mendapatkan kelulusan dari pihak berkuasa agama terlebih dahulu?
Bukankah ini hanya menambah birokrasi yang tidak perlu dalam urusan peribadi dan kekeluargaan?
“Saya nak ingatkan, mungkin ramai masih ingat Tahun Baharu Cina ini adalah satu upacara keagamaan.
“Sebenarnya ia adalah kebudayaan. Jadi ia tergolong dalam mana? JAKIM atau Kementerian Kebudayaan?” soal Wee dalam sidang Dewan Rakyat.
Beliau turut menekankan bahawa, “macam Tahun Baharu Cina hari ini adalah hari perayaan orang Hokkien.”
“Semalam, jika diajak kawan-kawan Melayu datang rumah, kita sudah letak tempat sembahyang tetapi kita tak minta orang Islam pergi sembahyang.
Ia adalah acara kebudayaan saja. Bagaimana kita buat satu garis panduan dengan jelas dan yang penting keharmonian kaum terjaga kerana kita dalam masyarakat majmuk.”
Persoalan yang lebih besar timbul apabila kerajaan membiarkan garis panduan ini dibentuk tanpa terlebih dahulu dibahaskan secara terbuka dalam Kabinet atau di Parlimen.
Mengapa isu yang begitu kritikal dalam konteks sosial masyarakat Malaysia ini tidak diberikan ruang perbincangan yang lebih inklusif?
Adakah suara pemimpin bukan Islam dan juga rakyat Malaysia yang mahukan perpaduan benar-benar diambil kira?
Lebih merisaukan, garis panduan ini berisiko mencetuskan ketegangan antara kaum jika ia diterjemahkan secara kaku tanpa mengambil kira realiti kehidupan masyarakat majmuk.
Jika setiap lawatan ke rumah ibadat bukan Islam perlu disaring dengan garis panduan yang ketat, tidakkah ini memperlihatkan satu bentuk sekatan terhadap kebebasan sosial dan keharmonian antara rakyat berbilang agama?
Sebagai cadangan terbaik bagi keluarga berbilang agama, penting untuk mengamalkan komunikasi terbuka dan sikap saling menghormati antara ahli keluarga.
Ahli keluarga Islam boleh diberikan panduan berdasarkan kes-kes tertentu tanpa perlu peraturan ketat yang menyekat kebebasan mereka untuk menunjukkan rasa hormat kepada saudara bukan Islam.
Selain itu, pihak berkuasa agama boleh mengadakan sesi penerangan yang lebih inklusif, di mana rakyat boleh mendapatkan kefahaman mendalam tentang batasan agama dalam kehidupan sosial mereka.
Ini akan membolehkan masyarakat lebih memahami dan menerima kepelbagaian tanpa menimbulkan rasa terpinggir.
Polemik ini bermula apabila media melaporkan bahawa JAKIM kini sedang memuktamadkan garis panduan khusus yang berkaitan dengan penglibatan orang Islam dalam pelbagai majlis.
Ini termasuk sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan dan penganjuran acara di rumah ibadat bukan Islam.
Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat berhubung isu tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, garis panduan ini akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dijadualkan berlangsung dari 25 hingga 27 Februari.
Garis panduan ini bertujuan memastikan bahawa penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan tidak melibatkan aktiviti yang boleh menimbulkan sensitiviti dalam kalangan masyarakat Islam.
Peraturan tersebut meliputi aspek seperti ucapan atau nyanyian yang mengandungi unsur propaganda, penyebaran risalah keagamaan, serta persembahan atau ucapan yang menghina atau mempersendakan ajaran Islam.
Malaysia sepatutnya bergerak ke arah yang lebih progresif dalam mengurus perbezaan agama dan budaya.
Garis panduan ini, jika tidak dikendalikan dengan bijaksana, boleh menjadi alat perpecahan yang menghalang interaksi sihat antara kaum.
Kerajaan harus mempertimbangkan semula dasar ini dengan mengambil kira kepelbagaian pandangan.
Ini bagi memastikan apa sahaja peraturan yang diperkenalkan tidak menjadi punca perpecahan.
Sebaliknya, ia mengukuhkan lagi semangat muhibah yang telah sekian lama wujud di tanah air ini.
Justeru, persoalan yang harus kita tanyakan ialah adakah garis panduan ini benar-benar diperlukan?
Atau adakah ia hanya satu lagi langkah yang bakal mencetuskan lebih banyak perpecahan dalam masyarakat?
Kerajaan perlu memilih dengan bijak antara menjaga keharmonian atau menambah lagi garis pemisah antara rakyat Malaysia. – Edisi 9

