GARIS panduan aktiviti sumbangan dana kepada sekolah yang telah sedia ada kekal sepertimana dilaksanakan sebelum ini, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri semalam yang bersetuju bahawa sebarang paparan atau promosi minuman keras di dalam premis sekolah adalah tidak dibenarkan.
Bagaimanapun, menurut beliau, jemaah menteri mengambil pendirian memberi pertimbangan kepada sekolah vernakular untuk menerima dana melalui Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan yayasan.
Jelas beliau, perkara itu telah diamalkan sejak beberapa pentadbiran terdahulu dan tidak pernah dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
“Bagaimanapun, Jemaah Menteri menegaskan bahawa penganjuran aktiviti melibatkan jenama minuman keras tidak boleh melibatkan pelajar Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahad lalu, kontroversi tercetus apabila sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina didapati telah menerima sumbangan dan tajaan daripada syarikat pengeluar minuman keras bagi majlis konsert amal sekolah tersebut.
Tindakan tersebut mencetuskan kebimbangan banyak pihak kerana dikatakan telah melanggar pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung garis panduan penerimaan dana.
Ekoran itu KPM dalam satu kenyataan memaklumkan memandang serius perkara itu dan sedang melakukan siasatan lanjut.
KPM turut mengingatkan pentadbir di institusi pendidikan di bawahnya supaya mematuhi garis panduan sedia ada berkaitan penganjuran program dan penerimaan sumbangan.
Surat pekeliling KPM pada 29 Mac 2018 menyatakan sumbangan kepada sekolah-sekolah tidak boleh melibatkan syarikat arak, rokok, judi dan seumpamanya kerana boleh jejaskan potensi murid dari segi rohani, emosi dan jasmani. – Edisi 9

