JABATAN Imigresen Malaysia berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan manusia dalam satu operasi khas pada 21 Februari lalu membabitkan beberapa lokasi di sekitar Kubang Kerian, Kelantan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi tersebut bermula pukul 11 malam disertai seramai 15 orang pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya serta Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kelantan.
Menurut beliau, operasi berkenaan merupakan rentetan hasil kejayaan operasi terdahulu yang telah dijalankan sejak awal Februari lalu.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat awam dan risikan, pasukan telah berjaya mengesan sebuah kenderaan pelbagao guna (MPV) yang dipercayai transporter (penghantar) di laluan Kubang Kerian ke Pasir Puteh.
“Pasukan operasi bertindak mengarahkan pemandu memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan.
“Menyedari diekori, pemandu bertindak memecut kenderaan untuk melepaskan diri, namun tindakan pantas pasukan Pastak (Pasukan Taktikal Khas) yang menyertai operasi berkenaan berjaya menyekat kenderaan berkenaan di kawasan Simpang Tiga, Jalan Bukit Marak/Jalan Peringat, Bachok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ruslin berkata, pemeriksaan lanjut mendapati MPV berkenaan dipandu oleh seorang lelaki warganegara Malaysia yang disyaki transporter.
Katanya, turut dijumpai enam pendatang asing tanpa izin (PATI) berumur antara 17 hingga 25 tahun, terdiri daripada tiga lelaki dan tiga orang perempuan warganegara Myanmar.
Mereka, katanya, dipercayai dalam perjalanan dari rumah penampungan menuju ke destinasi tertentu yang telah ditetapkan oleh sindiket.
Tambah Ruslin, soal siasat ke atas transporter telah membawa pasukan ke sebuah premis di sekitar Demit, Kota Bharu yang dipercayai digunakan sebagai sebuah rumah penampungan.
“Susulan itu, pasukan telah menahan seorang lagi lelaki warga tempatan berusia lingkungan 40-an disyaki penjaga rumah tersebut.
“Turut dirampas wang sebanyak RM4,500 dan sebuah telefon bimbit untuk tujuan siasatan,” kata beliau.
Jelas Ruslin lagi, siasatan awal mendapati sindiket telah mengubah modus operandi dengan menghindari terminal pengangkutan awam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Sebaliknya, katanya, mereka menggunakan rumah penampungan untuk menempatkan sementara PATI yang baru diseludup dari sempadan sebelum dipindahkan menggunakan transporter ke destinasi tertentu sekitar Seremban dan Kuala Lumpur.
Kata beliau, transporter akan dibayar antara RM1,000 hingga RM1,200 bagi setiap pergerakan tertakluk kepada jarak perjalanan.
“Kesemua PATI dan warganegara Malaysia yang ditahan dalam kejadian ini dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa JIM Kelantan di Kota Bharu untuk tindakan lanjut.
“Manakala kenderaan Perodua Aruz yang digunakan dalam kegiatan ini disita untuk tujuan siasatan,” katanya. – Edisi 9

