LANDSKAP digital yang selamat memerlukan kerjasama yang kukuh antara kerajaan dan swasta.
Sehubungan dengan itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata Kerajaan Perpaduan komited untuk menjalin lebih banyak perkongsian merentasi sektor awam serta swasta dalam usaha memerangi jenayah siber.
“Saya tekad untuk teruskan kerjasama antara kerajaan dan swasta terutamanya dalam mendidik dan memberi latihan awam kepada rakyat untuk mengelak dari berlakunya penipuan dalam talian.
“Perkongsian Awam-Swasta atau PPP adalah antara kaedah paling berkesan untuk memerangi jenayah siber.
“Ini kerana ia terbentuk daripada platform sinergi dan neutral di mana pemain industri keselamatan siber serta kerajaan boleh bekerjasama rapat sekali gus memperkasa tindak balas yang lebih pantas terhadap serangan siber.
“Perkongsian antara kerajaan industri perlu terus berkembang, membina kepercayaan, bersikap terbuka kepada cabaran dan berkongsi data dengan seefektif yang mungkin,”katanya.
Fahmi berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Anugerah Keselamatan Siber Malaysia 2023 sempena Ekspo dan Persidangan Pertahanan dan Keselamatan Siber Asia (DSA) 2023, malam tadi.
Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching serta Pengerusi Lembaga Pengarah CSM, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.
Fahmi juga berkata, keselamatan siber akan terus menjadi asas dan prasyarat kritikal untuk kehebatan ekonomi digital Malaysia.
“Kita mesti menyepadukan keselamatan siber ke dalam fabrik kesemua inovasi ini, memastikan bahawa langkah keselamatan bukanlah sesuatu yang difikirkan kemudian sebaliknya komponen intrinsik reka bentuk dan pelaksanaan.
“Sebagai contoh, setakat Julai tahun ini, CSM (CyberSecurity Malaysia) telah menerima sejumlah 3,327 laporan berkaitan insiden siber dengan kes penipuan mencecah 62 peratus,” katanya.
Sementara itu, bercakap mengenai pembangunan pelancaran rangkaian 5G di Malaysia, Fahmi berkata, inisiatif itu telah mencapai 66.8 peratus liputan kawasan berpenduduk (CoPA) setakat Julai 2023.
Katanya, keadaan semasa menunjukkan bahawa kementerian itu berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran 80 peratus rangkaian 5G di CoPA menjelang akhir tahun. – BERNAMA

