TIMBALAN Ketua UMNO Bahagian Sungai Buloh, Datuk Harrison Hassan digugurkan keahliannya sebagai ahli parti secara automatik.
Ini susulan apabila beliau dinamakan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.
Pengesahan pelucutan keahlian Harrison itu dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.
Menurutnya, mengikut Perlembagaan UMNO dan peraturan Lembaga Disiplin UMNO, Harrison secara automatiknya tergugur sebagai ahli UMNO.
Katanya, beliau langsung tidak terkejut dengan tindakan Harrison itu kerana khabar angin mengenainya (bertanding calon PN) sudah tersebar sebulan lalu.
“Saya sudah dengar (khabar angin) sebulan lalu, jadi, saya tidak terkejut dengan perkara itu.
“Kita hanya memerlukan ahli yang taat kepada parti, jika mereka lebih taat kepada parti lain, maka, itu pilihan dibuat oleh individu berkenaan,” katanya.
Malam tadi, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Harrison sebagai calon PN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram.
Ahmad Zahid berkata, beliau tidak dapat sebarang permohonan untuk keluar parti dari Harrison sebaliknya hanya mendengar khabar angin beliau (Harrison) akan bertanding atas tiket parti lain. – Edisi 9