DI sebalik gemuruh gelombang laut memukul kapal-kapal flotila, terdapat satu penyatuan semangat dalam kalangan sukarelawan ibarat api yang membara, api yang tidak dapat dipadam oleh banyaknya ancaman, sekatan mahupun jarak.
Mereka bukan sekadar datang membawa bantuan kemanusiaan tetapi sebuah harapan seluruh umat seantero dunia yang menolak untuk berdiam diri terhadap kezaliman.
Keberanian mereka adalah terwujud zahir dari empati dan perjuangan mempertahankan hak asasi manusia.
Gerakan maritim antarabangsa atau lebih dikenali sebagai Global Sumud Flotilla (GFS) bermula pada pertengahan tahun 2025 dengan membawa satu impian besar untuk menembusi sekatan di Genting Gaza.
Perjalanan kapal-kapal mereka bermula dari pelbagai pelabuhan Eropah seperti Sepanyol, Itali, Tunisia dan Greece.
Gelombang ini mengetengahkan empat fasa gelombang iaitu fasa pertama hingga fasa keempat yang mewakili fasa-fasa berbeza dalam pelayaran dan usaha memecahkan sekatan laut.
Di mana setiap gelombang menghadapi pelbagai cabaran yang berlainan seperti cuaca buruk, penampakan dan serangan dron serta pemintasan oleh tentera laut rejim Zionis.
Namun, perjalanan mereka belum berakhir. Jika kita merentasi ke peredaran dunia yang semakin terhubung tanpa batasan.
Perjuangan umat Islam bukan lagi bertumpu hanya pada medan peperangan, jalanan atau ruang diplomasi bahkan kini, ia turut bergema di segenap ekosistem siber digital.
Gelombang Sumud tanda bermula kepada penyatuan jutaan jiwa tanpa batas wilayah.
Ia menjalar ke dunia media sosial seperti Instagram, TikTok, X, WhatsApp, Telegram bahkan pelosok maya yang lain perlahan menjadi sebuah ombak solidariti yang kuat.
Fenomena ini dapat dilihat dari sudut pandang ilmiah adalah suatu bentuk gelombang sosial yang memanfaatkan teknologi informasi.
Jutaan manusia bersatu hati dalam menyebarkan segala maklumat berkenaan saudara-saudara Gaza kita di bumi Palestin.
Ia bukan sekadar tindakan berkongsi berita tetapi sebuah manifestasi kesedaran kolektif bersama yang menolak menjadi pemerhati pasif.
Setiap hantaran yang disebarkan di media sosial menjadi satu bentuk keprihatinan dan suara bersama menentang penindasan Zionis.
Ini membuktikan bahawa gerakan ini bukanlah sebuah perjuangan tidak pernah mati, sebaliknya hanya berubah bentuk dan medium.
Kemuncak kepada perluasan sebaran tentang Sumud ini, suka saya menguatkan lagi bahawa pihak Global Sumud Flotilla bukan sekadar sebuah misi pelayaran kepada Gaza.
Maah ia adalah simbol keteguhan dan solidariti sejagat menentang penindasan dan sekatan yang seolah-olah tidak berperikemanusiaan.
Keterlibatan lebih 500 aktivis dari 44 negara termasuk dari negara kita, berani menyahut cabaran menghadapi ancaman tentera dan sekatan laut demi menuntut hak asasi dan membuka laluan kemanusiaan.
Gerakan ini menegaskan bahawa perjuangan menentang kezaliman Zionis Israel bukan hanya milik Palestin tetapi isu kemanusiaan global yang menyeru kepada kesedaran dunia.
Walaupun pelayaran ini menghadapi serangan dan penangkapan termasuk 23 rakyat Malaysia yang kemudian dibebaskan, semangat ‘sumud’ masih terus mekar dalam hati rakyat.
Peristiwa ini telah mencetuskan membangkitkan ribuan penyokong baharu termasuklah 20,000 rakyat Malaysia yang mendaftar untuk menyertai misi tersebut selepas ini.
Dengan kekuatan gelombang budaya, artisan dan aktivisme kemanusiaan yang bersepadu, Sumud Flotilla berperanan mengajak semua pihak untuk terus berdiri teguh, bersolidariti mendesak pembukaan laluan yang selamat serta menuntut hak kemanusiaan dan keadilan yang selama ini dinafikan di bumi Gaza.
Gelombang solidariti maya terhadap perjuangan Gaza membawa implikasi sosial dan politik yang signifikan.
Dari sudut sosial, solidariti maya memberi ruang kepada masyarakat yang dari pelbagai latar belakang dan negara untuk bersatu hati dalam satu komuniti maya yang kuat.
Contoh yang berlaku, ribuan orang berkumpul secara fizikal dan maya diseluruh dunia dalam himpunan solidariti di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat.
Selain itu, perluasan penyebaran maklumat dan naratif kemanusiaan. Melalui platform media sosial ini, maklumat terus menerus disebarkan live sewaktu peserta flotilla bersiaran langsung dan ketika mereka dihalang dan ditahan oleh tentera Zionis.
Ini menjadi bukti penting yang mempengaruhi media antarabangsa dan pandangan dunia.
Tambahan, ia memperkuat naratif kemanusiaan yang sukar ditandingi oleh media konvensional.
Masyarakat dunia menjadi lebih peka serta lebih berani bersuara menentang kezaliman walau hanya melalui ruang teknologi.
Dari sudut pandang politik pula, ia mendorong kepada tekanan diplomatik terhadap pihak yang dianggap melanggar hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa yang telah termaktub.
Himpunan solidariti rakyat secara besar-besaran di pelbagai negara selepas penahanan peserta flotilla menunjukkan masyarakat memiliki kuasa untuk mendesak perubahan diplomatik.
Tekanan ini mempengaruhi dasar luar negara dan meningkatkan sokongan terhadap hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.
Sebagai penutup kata, ketika dunia cuba menormalisasikan kezaliman, ada satu sisi lain bangkit bersuara hanya melalui skrin kecil yang membawa kepada gema besar dunia.
Solidariti adalah lambang nadi kekuatan umat dalam menghadapi cabaran zaman. Setiap perkongsian adalah tanda penentangan dan setiap doa adalah senjata.
Maka, ini adalah satu wadah baharu Sumud moden iaitu keteguhan yang tidak tunduk hanya dengan peluru tetapi terus hidup mekar dengan kekuatan suara, iman dan kesatuan di alam maya. — Oleh NUR NADIYATUL HUSNA ZULKIFLY (Universiti Malaya)

