PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa setiap pengalaman yang dilalui kerajaan dan penjawat awam harus menjadi sumber pelajaran berharga dalam membentuk kebijaksanaan serta kematangan pentadbiran negara.
Berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini, beliau menekankan bahawa kerajaan tidak gentar untuk melakukan perubahan demi memperkukuh tadbir urus, membanteras ketirisan dan rasuah, serta mengekang penyeludupan yang merugikan negara.
“Kita belajar daripada kesilapan, kita dengar suara rakyat, dan kita berani melakukan perubahan kerana tujuan kita jelas, memperkukuh tadbir urus dan menentang segala bentuk ketidakjujuran,” katanya.
Anwar turut menyatakan sokongan penuh terhadap semua badan penguatkuasaan yang berani bertindak tanpa gentar, sambil mengingatkan agar tiada pihak berasa kebal di sisi undang-undang.
“Jangan takut dengan tekanan, jangan tunduk pada kuasa. Tiada sesiapa yang kebal di sisi undang-undang. Integriti mesti kekal sebagai nadi dan roh dalam setiap perkhidmatan awam,” tegasnya.
Beliau turut menekankan bahawa kekuatan sesebuah negara tidak hanya bergantung kepada ilmu dan kepakaran semata-mata, tetapi turut berpaksikan nilai moral dan prinsip etika yang menjadi panduan dalam setiap tindakan serta keputusan.
“Marilah kita terus bekerja dengan tekad dan kejujuran, menjunjung amanah rakyat demi keluarga, masyarakat dan masa depan Malaysia yang bersih, berintegriti dan bermaruah,” katanya. — Edisi 9

