DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan pertemuannya dengan Presiden Donald Trump kelak bakal menjadi medan penting untuk memastikan ruang dialog terus kekal sebagai salah satu mekanisme utama dalam menjamin keamanan serta membuka laluan bantuan kemanusiaan lebih besar kepada rakyat Gaza.
Perdana Menteri berkata, walaupun ia bukan penyelesaian muktamad, usaha itu merupakan permulaan penting untuk menghentikan segala bentuk serangan dan ancaman terhadap Palestin.
“Kita tidak mahu sekadar menjadi jaguh kampung. Pertemuan ini akan menjadi ruang untuk suara keadilan dan keamanan dilonjak ke peringkat serta pentas yang tertinggi,” katanya hari ini.
Sebelum itu, Anwar melakukan lawatan dan tinjauan ke Pusat Kawalan MAPIM Sumud Nusantara bagi menyokong misi Global Sumud Flotilla petang yang turut disertai sukarelawan dari Malaysia.
Hadir sama Presiden MAPIM Malaysia, Datuk Dr Sani Araby.
Anwar turut mengajak rakyat agar terus berdoa supaya usaha tersebut mendapat perlindungan Allah SWT dan menjadi sinar terbaik dalam menghadapi kezaliman yang berlaku.
Menurutnya, beliau terharu dengan kecekalan para perwira yang berhari-hari membelah samudera demi menegakkan keadilan dan menyifatkannya sebagai sumber kekuatan, bukan sahaja kepada rakyat Palestin di Gaza, malah masyarakat dunia yang mengikuti perjuangan itu.
Kerajaan, jelasnya, kekal mendukung serta memastikan bantuan kemanusiaan segera disalurkan selain memberi keutamaan kepada keselamatan para sukarelawan yang dijangka memasuki zon merah esok hari.
“Ramai sahabat di rantau ini termasuk Malaysia, Turkiye, Itali dan Sepanyol turut gigih menggembleng tenaga.
“Hubungan akrab dan langsung yang kita kekalkan dengan pelbagai pihak di peringkat antarabangsa menjadi wahana penting menggerakkan solidariti global,” katanya.
Anwar turut menzahirkan sokongan terhadap 34 rakyat Malaysia yang bersama pasukan flotila itu dan menyifatkan penglibatan mereka sebagai catatan sejarah penting dalam menegakkan keadilan dan membela kemanusiaan. – Edisi 9

