Tuesday, July 21, 2026

Skop fungsi NSRC diperluas tangani ancaman siber – PM

Hampir 4.7 bilion percubaan penipuan dalam talian direkodkan sejak tahun 2022, satu angka yang disifatkan amat membimbangkan dan menuntut tindakan tegas serta bersepadu semua pihak.

Mesti Baca

KERAJAAN akan memperluaskan skop fungsi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) bagi merangkumi semua bentuk jenayah siber, susulan kebimbangan terhadap peningkatan mendadak kes penipuan dalam talian sejak dua tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) yang dipengerusikan beliau hari ini.

Menurutnya, mesyuarat dimaklumkan bahawa hampir 4.7 bilion percubaan penipuan dalam talian direkodkan sejak tahun 2022, satu angka yang disifatkan amat membimbangkan dan menuntut tindakan tegas serta bersepadu semua pihak.

“Kerajaan bersetuju memperkukuh peranan NSRC dengan menubuhkan rangkaian respons 24 jam yang digerakkan secara menyeluruh oleh pelbagai agensi kerajaan.

“Pendekatan ini juga akan melibatkan gabungan kepakaran tempatan, penyelarasan rentas agensi dan pertambahan sumber manusia bagi memastikan rakyat menerima perlindungan menyeluruh daripada ancaman jenayah siber,” katanya menerusi media sosialnya.

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara turut dihadiri beberapa menteri Kabinet. – Foto: PMO

Yang kelihatan turut hadir ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Tambah beliau, Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyegerakan pelaksanaan struktur baharu NSRC termasuk memperjelas fungsi serta kaedah akses oleh orang ramai.

Pendekatan ‘no wrong door’ turut diperkenalkan bagi memastikan segala aduan dan permintaan bantuan dapat disalurkan dengan lebih mudah tanpa sebarang kekeliruan.

“Keselamatan siber tidak boleh dianggap isu teknikal semata-mata, sebaliknya mesti ditangani secara strategik dan proaktif.

“Saya menggesa semua agensi untuk sentiasa berpandangan jauh dan meningkatkan kesiapsiagaan benteng siber negara, bukan hanya di peringkat domestik, malah dalam kerjasama antarabangsa,” tegasnya.

NSRC yang mula beroperasi secara rasmi pada tahun lalu sebelum ini memberi tumpuan khusus terhadap aduan kes penipuan kewangan dan scam dalam talian.

Pengukuhan struktur dan peluasan mandatnya dijangka menjadikannya sebagai hab nasional bagi menangani keseluruhan spektrum ancaman siber negara. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan