KOTA Madani yang dimajukan di Presint 19, Putrajaya bukan sekadar pembangunan fizikal tetapi merupakan falsafah dan cita-cita berteraskan pemikiran Ibn Khaldun, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berdasarkan falsafah tersebut, menurut Perdana Menteri, sebuah kota perlu menjadi pusat umran hadhari yakni tempat bertemunya idealisme, teknologi dan nilai.
Justeru, beliau berkata, Kota Madani yang menelan kos RM4 bilion itu bukan sahaja menyediakan perumahan mampu milik buat penjawat awam tetapi juga merupakan cita kehidupan yang berteraskan nilai-nilai yang universal seperti iman, ihsan, inovasi dan kelestarian.
“Daripada kemudahan asas seperti tadika di aras bawah ke masjid di hadapan, dari laluan pejalan kaki ke sekolah dan juga gimnasium serta ruang-ruang hijau, yang direncana dengan teliti bagi menyantuni kehidupan rakyat terbanyak,” katanya hari ini.
Anwar berkata, beliau tidak mahu meneruskan budaya membina mercu serta gedung-gedung megah tanpa ruh sebaliknya ia adalah sebuah bandar yang manusiawi, yang menyantuni rakyat terbanyak, dari warung sederhana hingga ke ruang tamu yang selesa buat anak-anak bangsa.
Katanya, ramai yang beranggapan dan berceloteh melulu bahawa Kota Madani akan senasib seperti projek-projek gajah putih yang lain yang kini hanya tinggal nama.
Justeru, beliau menjelaskan, sepertimana banyak bangunan-bangunan utama yang didirikan di Putrajaya, projek tersebut juga akan dibiayai secara usahasama kerajaan-swasta (PPP).
“Pendekatan ini mengurangkan beban kewangan langsung kerajaan dan mempercepat pelaksanaan projek.
“Ia bukan konsep baharu, tetapi ia berkonsep menambah baik, jauh sekali dibina ‘from scratch’ yang tentunya menelan belanja yang besar. Bezanya ia diangkat dengan ruh dan sifat manusiawi yang tinggi,” katanya.
Anwar berkata, dengan kos yang sebesar itu, beliau bukan mahu bermegah dan mendabik dada tetapi ia bagu keperluan untuk 10,000 keluarga.
“Tidak ada komisen, jauh sekali kebocoran dan ketirisan. Hanya iltizam dan tekad untuk mempercepat, mempermudah, menyempurnakan. Ia bukan projek peribadi Perdana Menteri, ia projek rakyat dan untuk masa depan bangsa,” katanya. – Edisi 9

