Tuesday, July 21, 2026

Agong jemput kerajaan China promosi pertukaran bahasa 

Bagi tujuan itu, Seri Paduka Baginda berhasrat mempromosikan Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di Beijing Foreign Studies University (BFSU)

Mesti Baca

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim  berkenan menjemput Kerajaan China untuk mempromosikan pertukaran bahasa antara kedua-dua negara.

Titah Seri Paduka Baginda, jumlah pertukaran pelajar antara kedua-dua negara telah meningkat.

Sehubungan itu, titah Sultan Ibrahim, Malaysia berhasrat menghantar lebih ramai lagi pelajarnya ke China untuk bertukar ilmu kebudayaan, seiring dengan pembelajaran mereka.

“Saya percaya bahasa adalah jambatan penting dalam mengukuhkan hubungan dua hala. 

“Ke arah ini, saya berhasrat untuk giat mempromosikan Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di Beijing Foreign Studies University (BFSU),” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim bersama Xi Jinping di Istana Negara hari ini.

Seri Paduka Baginda bertitah demikian ketika berucap pada pertemuan bersama Presiden China, Xi Jinping di Istana Negara hari ini sempena lawatan negara ke Malaysia.

Sementara itu, Sultan Ibrahim turut percaya Malaysia dan China akan terus memperkasakan kerjasama kedua-dua negara, walaupun wujud pelbagai jurang geopolitik seantero dunia.

Titah Seri Paduka Baginda, Malaysia menitikberatkan integrasi ekonomi lebih mendalam, pengukuhan kolaborasi rantaian bekalan dan perindustrian, peningkatan ketersambungan, serta menegakkan prinsip hormat dan manfaat bersama dalam penglibatan dengan semua rakan kongsi, termasuk China. 

“Saya percaya terdapat potensi besar untuk syarikat dan pelabur China untuk meneroka peluang di sini kerana ia selari dengan kepentingan ketersambungan serantau dan pembangunan berkualiti tinggi di bawah Inisiatif ‘Belt and Road’ oleh China.

“Dengan insentif strategik yang kukuh serta lokasi yang baik, Hab Kewangan Khas Forest City di dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) telah muncul sebagai antara lokasi pelaburan utama rantau ini,” titah Sultan Ibrahim. 

Jinping tiba di Malaysia petang semalam untuk lawatan negara selama tiga hari atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Lawatan kali ini menandakan kunjungan rasmi kedua beliau ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas kunjungan terakhir pada 2013.

Pesawat khas yang membawa presiden mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6.30 petang. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan