PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Kiosk Sentuhan MADANI yang pertama diwujudkan di pusat beli-belah Alamanda, Putrajaya.
Kioks tersebut merupakan prakarsa terbaharu bagi memudahkan akses rakyat kepada perkhidmatan kerajaan.
“Saya sempat melihat dan mencuba sendiri kiosk digital agensi-agensi kerajaan dan pihak swasta yang tersedia untuk dimanfaatkan segenap lapisan masyarakat,”katanya menerusi media sosialnya.
Perdana Menteri berkata, kiosk tersebut melibatkan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan, Pos Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Tenaga Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan MyDigital ID.
Beliau berkata, ia merupakan satu prakarsa penting dari Kerajaan MADANI dalam usaha menambah baik perkhidmatan awam dan menyantuni keperluan masa kini rakyat.
Kiosk Sentuhan MADANI disediakan bagi memudahkan rakyat mendapat akses lebih 90 perkhidmatan kerajaan di luar waktu pejabat.
Selepas Alamanda, kiosk yang sama juga akan disediakan di lain-lain lokasi tumpuan umum termasuk yang kedua di KL Sentral, Kuala Lumpur pada penghujung Februari. – Edisi 9