PERSATUAN Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) merangka pelbagai program bagi menyambut Ulang Tahun Jubli Emas Ke-50 penubuhannya tahun depan.
Presiden PAPTI, Datuk Dr Abdul Latif Awang berkata, antara yang dicadangkan ialah karnival nusantara, konvensyen kesihatan dan pendidikan, pertandingan golf amal dan lain-lain.
Beliau berkata, kemuncak bagi acara sambutan ialah majlis makan malam Himpunan Alumni Indonesia dengan sasaran sehingga 1,000 orang.
“Kebetulan tahun depan Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN dan kesempatan itu kita bercadang untuk menjemput pemimpin tertinggi Malaysia dan Indonesia untuk hadir.
“Kita juga berharap himpunan tersebut yang terbesar melibatkan rakyat Malaysia yang pernah menuntut di Indonesia sejak tahun 1970-an sehingga ke hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi penganjuran sambutan Ulang Tahun Jubli Emas PAPTI di Kuala Lumpur semalam.
Hadir sama mantan-mantan presiden dan veteran PAPTI antaranya Tan Sri Dr Suleiman Mohamad, Prof Emeritus Tan Sri Mohamed Salleh Mohamed Yasin, Dr Shamsul Bahar Tan Sri Abdul Kadir, Prof Dr Saberi Othman dan Prof Madya Dr Ismail Abdullah.
Abdul Latif berkata, berdasarkan pengkalan data keahlian yang ada hari ini, alumni Indonesia mempunyai seramai hampir 2,000 dan percaya ramai lagi di luar sana yang tidak direkodkan.
Justeru, katanya, usaha sedang giat dilakukan untuk mengemas kini data keahlian alumni berdasarkan kota-kota tempat mereka belajar dahulu, dari Acheh hingga ke Makassar dan Menado.
“Sasaran kita, menjelang Himpunan Alumni Indonesia tahun depan, kita dapat kumpulan lebih 3,000 ahli dalam pengkalan data kita,” katanya.
Untuk rekod, PAPTI yang keanggotaannya terdiri daripada rakyat Malaysia yang pernah menuntut atau lepasan universiti di seluruh Indonesia itu ditubuhkan pada tahun 1975. – Edisi 9