Tuesday, July 21, 2026

Bahaya ‘e-waste’: Sejauh mana tahap kesedaran masyarakat?

Mesti Baca

Oleh NIK AMALENA NAJEBAH NIK AZMAN

DALAM era digital yang semakin maju ini, penggunaan peranti elektronik seperti telefon pintar, komputer riba dan tablet menjadi sebahagian penting dalam kehidupan seharian kita. 

Namun, di sebalik kemajuan teknologi ini, terdapat satu isu yang semakin meruncing yang perlu diberi perhatian penting iaitu e-waste atau sisa elektronik. 

Sisa elektronik merujuk kepada peranti elektronik yang sudah tidak digunakan atau rosak dan dibuang begitu sahaja. 

Isu ini menjadi semakin kritikal apabila pertambahan sisa elektronik yang tidak diuruskan dengan betul membawa kepada pelbagai kesan negatif terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia. 

Ini kerana kebanyakan bahan dalam sisa elektronik mengandungi logam berat dan bahan kimia berbahaya seperti plumbum, merkuri dan kadmium.

Kaedah pengurusan sisa elektronik yang betul perlu dididik daripada peringkat sekolah.

Di Malaysia, jumlah sisa elektronik dijangka meningkat dengan kadar membimbangkan seiring dengan perkembangan pesat dalam penggunaan teknologi. 

Pada masa sekarang, Malaysia menghasilkan lebih daripada 364,000 tan metrik sisa elektronik setiap tahun. 

Ini termasuk peranti elektronik yang dibuang oleh pengguna domestik dan sektor industri. 

Oleh itu, kesedaran tentang kepentingan pengurusan sisa elektronik perlu dipupuk seawal usia muda bagi memastikan generasi akan datang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan seterusnya dapat mengurangkan kadar e-waste setiap tahun.

Generasi muda adalah pewaris masa depan kita, dan apa yang diajar kepada mereka hari ini akan menentukan keadaan dunia esok hari. 

Mendidik generasi muda mengenai pengurusan sisa elektronik bukan sahaja membantu mereka memahami pentingnya menjaga alam sekitar, tetapi juga memupuk sikap bertanggungjawab dalam menguruskan sumber yang ada. 

Apabila mereka didedahkan kepada kesedaran sisa elektronik sejak usia muda, mereka akan lebih cenderung mengamalkan gaya hidup yang mesra alam sepanjang hayat mereka.

Untuk memastikan kesedaran tentang pengurusan sisa elektronik diterapkan dengan berkesan, pendekatan yang sistematik dan menyeluruh perlu diambil. 

Melalui pendidikan adalah salah satu medium yang paling berkesan. 

Sekolah atau institusi pendidikan memainkan peranan penting dalam menangani masalah sisa elektronik dengan meningkatkan kesedaran awam melalui pelbagai cara. 

Antara yang paling signifikan adalah menganjurkan program-program kesedaran, menggalakkan inovasi dan penyelidikan, serta bekerjasama dengan industri untuk program kitar semula.

Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak mereka tentang sisa elektronik. 

Di rumah, ibu bapa boleh menunjukkan contoh yang baik dengan menguruskan sisa elektronik dengan betul, serta menggalakkan anak-anak untuk turut serta dalam aktiviti kitar semula. 

Di samping itu juga, aktiviti dan program komuniti juga boleh menjadi platform yang efektif dalam memupuk kesedaran tentang sisa elektronik. 

Menggalakkan generasi untuk terlibat dalam kempen pengumpulan sisa elektronik, permainan interaktif yang mendidik tentang kitar semula, atau pertandingan kreatif menggunakan bahan-bahan sisa elektronik, boleh menjadikan proses pendedahan yang lebih menyeronokkan dan berkesan bagi mereka.

Dalam dunia yang semakin berkembang dengan penggunaan teknologi, isu sisa elektronik tidak boleh diabaikan. 

Mendidik generasi muda tentang pengurusan sisa elektronik adalah langkah awak yang kritikal ke arah kelestarian alam sekitar. 

Oleh itu, adalah penting bagi semua pihak – ibu bapa, pendidik, dan masyarakat – untuk mengambil peranan aktif dalam mendidik generasi muda tentang pentingnya pengurusansisa elektronik, demi masa depan yang lebih hijau dan lestari. 

Dengan ini, kita juga turut menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) khususnya SDG 12, yang memastikan penggunaan dan pengeluaran yang bertanggungjawab demi kesejahteraan sejagat.


Penulis merupakan pensyarah di Uniten Business School, Universiti Tenaga Nasional. 

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan