27 C
Kuala Lumpur
Tuesday, September 17, 2024

Tuduhan KESEDAR tak serah tanah kepada peneroka berniat jahat

Mesti Baca

LEMBAGA Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) amat kesal dengan pelbagai tohmahan dan tuduhan termasuk konon agensi itu tidak menyerahkan tanah ladang kepada peneroka sepertimana yang dijanjikan.

Pengurus Besar KESEDAR, Wan Muhd Rahimi Wan Salleh berkata, tuduhan serta pelbagai tohmahan lain yang dibuat pihak-pihak tertentu jelas berniat jahat dan mengganggu keharmonian kumpulan sasar agensi itu.

Beliau berkata, segala tuduhan dan tohmahan itu seolah-olah KESEDAR sebagai institutisi yang tidak cakna dan amanah dalam menjalankan peranannya seperti yang termaktub dalam akta penubuhan organisasi sejak ditubuhkan pada 1978.

Antara tuduhan yang dilemparkan ialah kegagalan KESEDAR melaksanakan tanggungjawabnya menyerahkan tanah ladang kepada peneroka sebagaimana yang telah dijanjikan walaupun telah diluluskan oleh kerajaan negeri dan tanah penempatan dan ladang Projek Agropolitan Kelantan Selatan.

“KESEDAR dengan ini menafikan sekeras-kerasnya semua tuduhan dan tohmahan tersebut yang berniat jahat dan mengganggu keharmonian kumpulan sasar KESEDAR khususnya peneroka RKT KESEDAR, peneroka RPT, bekas peserta Projek Agropolitan Kelantan Selatan serta warga kerja KESEDAR secara keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Mohd Rahimi berkata, KESEDAR sebenarnya telah memiliki tanah ibu pejabatnya sejak tahun 2019 selepas lebih 25 tahun mengemukakan permohonan kepada kerajaan Kelantan.

Beliau berkata, KESEDAR juga telah diberi-milik tanah penempatan Projek Agropolitan (Rantau Manis) sejak 2014 dan telah memproses pecah sempadan kawasan penempatan sejak tiga tahun lalu sebelum diluluskan pecah sempadan pada 12 Ogos lalu oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan.

Advertisements

Katanya, tanah tersebut dijangka memerlukan sehingga 10 bulan lagi sebelum geran individu dikeluarkan oleh pihak berkuasa negeri.

“Manakala bagi ladang-ladang peneroka RKT, KESEDAR telah mengemukakan proses selanjutnya kepada Kerajaan Negeri sebagai pematuhan kepada peraturan yang ditetapkan untuk penukaran nama kepada peneroka. 

“Proses ini dibuat secara berterusan dan dijangka agihan geran ladang akan dimulakan pada penghujung tahun 2025 dengan harapan tiada sebarang kelewatan kelulusan berikutnya daripada Kerajaan Negeri Kelantan,” jelas beliau.

Wan Mohd Rahimi berkata, KESEDAR menyeru semua pihak agar merujuk kepada pihaknya sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan agensi itu agar kesan negatif kepada semua kumpulan sasar KESEDAR dapat dielakkan.

Malahan katanya, tuduhan yang dilemparkan kepada KESEDAR itu, juga membuatkan warga KESEDAR berasa terkilan dan tersentuh, baik yang sedang berkhidmat atau buat yang telah mencurahkan bakti kepada KESEDAR selama ini.

“KESEDAR akan terus berusaha melaksanakan tanggungjawabnya sebagai agensi pembangunan utama wilayah Kelantan Selatan dan memastikan nasib seluruh kumpulan sasar dibela.

“(Ini) dalam mewujudkan kesejahteraan dalam pelbagai aspek kehidupan serta pada yang sama mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

MoU ditawar kerajaan Perpaduan tidak berperlembagaan – Muhyiddin

PERJANJIAN persefahaman (MoU) yang ditawarkan oleh kerajaan Perpaduan jelas tidak berperlembagaan malah bertentangan dengan nilai murni yang menjadi pegangan...

Lagi Artikel Berkaitan