26.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Di mana dasar satu peratus OKU di sektor awam?

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Oleh DR MOHD FAUZI FADZIL

PENEMPATAN satu peratus orang kurang upaya (OKU) di dalam sektor awam bukan sesuatu yang baharu.

Ini kerana ia telah diperkenalkan melalui Pekeliling Perkhidmatan 10/1988 dan Akta OKU 2008 (Akta 685).

Setelah hampir 36 tahun, sektor awam masih gagal mencapai sasaran tersebut.

Sesuatu yang menyedihkan apabila Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melaporkan pada tahun 2022, kecuali Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, kesemua kementerian lain gagal mematuhi dasar tersebut.

Paling menyedihkan apabila laporan itu menyatakan pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah tidak mempunyai walau seorang penjawat awam dalam kategori OKU.

Laporan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menunjukkan pada tahun 2022 seramai 1.2 juta orang memohon sebagai penjawat awam.

Namun daripada jumlah tersebut hanya 763 OKU yang dipanggil untuk temuduga (hanya 0.06 peratus OKU terlibat).

Lebih menyedihkan lagi pada tahun sama, hanya 71 OKU diterima sebagai penjawat awam berbanding jumlah keseluruhan sebanyak 20,762 (hanya 0.3 peratus OKU menerima lantikan).

Data-data tersebut jelas menunjukkan bahawa tiada kesungguhan daripada pihak kerajaan untuk menghormati dan melaksanakan dasar penempatan 1 peratus OKU di dalam sektor awam.

Perkara ini telah dibangkitkan oleh Majlis Belia Orang Kurang Upaya (MBOKU) dalam sesi Dialogika Daerah (Konvensyen Belia Nasional) yang melibatkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli.

MBOKU secara tegas menyatakan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) gagal untuk menghormati dasar kerajaan dalam isu tersebut.

Advertisements

Pertubuhan itu bukan sahaja menuntut kerajaan melaksanakan dasar tersebut secepat mungkin, sepatutnya dasar baharu digubal untuk meningkatkan jumlah golongan OKU dalam penjawatan awam kepada tiga peratus.

Ini agar selari dengan standard yang dilaksanakan oleh negara-negara maju di seluruh dunia.

Sebagai contoh, Itali menetapkan tujuh peratus kuota untuk golongan OKU dalam penjawatan awamnya, Perancis menetapkan enam peratus dan Sepanyol pula lima peratus.

Lebih memalukan bagi negara membangun seperti Malaysia apabila negara seperti Tanzania mampu menetapkan kuota lima peratus untuk penjawat awam OKU.

MBOKU sebelum ini telah membangunkan sebuah Kertas Makluman bagi menggesa kerajaan meningkatkan kuota penjawat awam OKU daripada satu peratus kepada tiga peratus.

Perkara ini disarankan dengan rasional bahawa dasar tersebut dapat mengurangkan kebergantungan golongan OKU kepada inisiatif kerajaan serta mendorong kemandirian golongan berkenaan untuk jangka masa panjang.

Hal ini dapat dicapai bukan sahaja dalam sektor awam malah swasta melalui potongan cukai berganda bagi majikan yang menggaji golongan OKU.

Cadangan ini mempunyai asasnya kerana pekeliling kerajaan ada menyentuh berkenaan Potongan Berganda (Double Deduction) P.U.(A) 61/1992 Cukai Pendapatan (Potongan bagi Latihan Yang Diluluskan) dan P.U.(A) 111 Cukai Pendapatan (Potongan bagi Latihan yang Diluluskan) (Perubahan) Undang-Undang 1995.

Justeru, pihak kerajaan perlu mula menunjukkan kesungguhan dan iltizam bagi melaksanakan dasar tersebut.

Negara Madani yang didambakan tidak akan mampu dicapai tanpa melibatkan seluruh segmen masyarakat.


Penulis adalah Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan, Majlis Belia Malaysia (MBM). Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9. 

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan