25.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

Pinda Seksyen 36 Syariah Selangor kekang jenayah qazaf

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Oleh MOHD. FAUZI FADZIL

LAPORAN oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menunjukkan bahawa terdapat 3,111 aduan mengenai kandungan yang dianggap sebagai berita palsu telah direkodkan bagi tempoh tahun 2020 hingga 31 Mei 2022.

Kebanyakan penyebaran berita palsu tersebut yang berbaur provokasi menggunakan platform atas talian ketika tempoh kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Antara berita palsu yang turut tersebar sehingga kini melibatkan kes qazaf, isu ini bukan sahaja menzalimi masyarakat biasa malah pemimpin negara turut dilibatkan dengan tuduhan yang jijik.

Majoriti fuqaha’ daripada empat mazhab berpendapat bahawa liwat adalah sama dengan zina dari segi hukum, justeru secara definisi qazaf meliputi kesalahan menuduh seseorang melakukan zina, liwat atau menafikan nasab.

Namun dalam konteks undang-undang syariah di Malaysia terdapat perbezaan antara negeri-negeri terkait enakmen jenayah syariah berkenaan qazaf, perbezaan ini wujud kerana setiap negeri mempunyai bidang kuasa tersendiri berkenaan undang-undang syariah memandangkan perkara yang berkaitan agama Islam adalah tertakluk di bawah Senarai Negeri menurut Perlembagaan Persekutuan.

Jika dililihat secara terperinci berkenaan definisi qazaf dalam undang-undang jenayah syariah di setiap negeri, secara jelasnya hanya lima buah negeri sahaja yang memperakui kesalahan qazaf meliputi isu liwat.

Negeri Selangor adalah antara negeri yang memperuntukkan hukuman qazaf hanya merangkumi tuduhan zina (liwat tidak termasuk).

Advertisements

Kekurangan dalam peruntukkan undang-undang Seksyen 36 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 menyebabkan ada pihak yang secara berani menyebarkan tuduhan qazaf yang berkaitan dengan liwat secara berleluasa kerana wujud kelompongan untuk mendakwa mereka di mahkamah syariah di Negeri Selangor.

Isu ini menjadi dilema terhadap tuduhan tidak berasas yang menimpa sesetengah pemimpin negara apabila mahkamah syariah selaku badan kehakiman terikat oleh undang-undang yang dikuatkuasakan.

Mahkamah Rayuan Selangor terpaksa bersetuju dengan tafsiran qazaf yang hanya terhad untuk pertuduhan zina sahaja berdasarkan enakmen negeri.

Namun Mahkamah Rayuan Selangor membuat pengiktirafan kehakiman bahawa zaman mutakhir ini semakin banyak berlakunya perbuatan menuduh orang lain melakukan perbuatan liwat.

Maka sudah tiba masanya pemerintah dan badan perundangan Negeri Selangor meminda Seksyen 36 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 bagi membolehkan seseorang yang menuduh orang lain melakukan perbuatan liwat dituduh di mahkamah syariah.

Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Selangor turut bersetuju dengan pandangan tersebut malah isu ini telah diangkat di dalam Muktamar Nasional WADAH Ke-17 pada 8-10 Disember 2023.

Usul yang diangkat supaya budaya fitnah dan qazaf dibendung dengan memperketatkan undang-undang telah dipersetujui oleh para perwakilan WADAH dari seluruh negara.

Malah muktamar tersebut bersetuju untuk mewujudkan sebuah jawatankuasa bagi mengkaji sebuah cadangan untuk diangkat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi menyelaraskan undang-undang jenayah syariah berkaitan kesalahan qazaf.

WADAH Selangor dalam isu ini menyokong penuh cadangan tersebut dan berharap jenayah qazaf dapat dibendung secara berkesan di Negeri Selangor Darul Ehsan.


Penulis adalah Penolong Setiausaha Negeri, Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Selangor. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.
Advertisements

Terkini

Kerajaan Pusat lulus peruntukan RM1.59 bilion untuk Terengganu

KERAJAAN Persekutuan meluluskan peruntukan RM1.59 bilion di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi manfaat rakyat...

Lagi Artikel Berkaitan