33.6 C
Kuala Lumpur
Friday, May 17, 2024

Ubah suai rumah ala kuil, pemilik sudah didakwa di mahkamah

Mesti Baca

PEMILIK sebuah rumah di Taman Surian, Mantin, Negeri Sembilan, yang melakukan kerja ubah suai kediaman tanpa kelulusan telah dikenakan hukuman denda oleh Mahkamah Majistret Seremban, baru-baru ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Masri Razali berkata, pendakwaan terhadap pemilik kediaman itu dilakukan mengikut Peruntukan Seksyen 70(13) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

Katanya, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau keduanya.

“Mahkamah telah mendapati pemilik berkenaan bersalah dan telah dikenakan hukuman denda, penjara sekiranya jumlah denda tidak dijelaskan.

“Berikutan sabitan bersalah itu, pemilik tidak dibenarkan melaksanakan sebarang kerja-kerja pembinaan di premis terbabit sehinggalah mendapat kelulusan daripada MBS,” katanya dalam satu kenyataan.

Namun begitu, Masri berkata, sehingga kini, MBS masih belum menerima sebarang permohonan kelulusan pelan daripada pemilik dan pihaknya sentiasa memantau premis terbabit bagi memastikan kerja-kerja pembinaan tidak dijalankan.

Advertisements

“Sebelum ini kami juga telah mengeluarkan notis arahan dan sitaan di tapak binaan sebanyak tiga kali kepada pemilik premis bagi memberhentikan kerja-kerja binaan dan merobohkan binaan tambahan di situ,” katanya.

Dalam pada itu katanya, warga bandar raya Seremban diminta untuk mendapatkan kelulusan bagi kerja-kerja pengubahsuaian bagi menjaga aspek keselamatan dan mengelakkan gangguan ketenteraman awam yang boleh mencetuskan sensitiviti warga bandar raya yang berbilang kaum.

“Segala tindakan yang diambil adalah bertujuan bagi mensejahterakan keharmonian warga bandar raya.

“Sebarang aduan, pertanyaan dan cadangan boleh hubungi Majlis Bandaraya Seremban di talian 06-7654333 atau 7654444 atau kemukakan terus melalui SISPAA MBS mbseremban.spab.gov.my,” katanya.

Terdahulu, media sebelum ini melaporkan, lebih setahun berlalu, sepasang suami isteri di taman berkenaan terpaksa menanggung resah oleh kerana kerja-kerja pengubahsuaian rumah jirannya yang didakwa tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pasangan itu berkata, pihaknya difahamkan mahkamah telah pun mengeluarkan arahan supaya pemilik merobohkan struktur tambahan itu namun sehingga kini tiada sebarang tindakan dilakukan. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Suspek serang balai polis Ulu Tiram buat persiapan rapi – KPN

POLIS mengesahkan suspek yang terlibat dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada awal pagi tadi telah...

Lagi Artikel Berkaitan