PEMBORONG beras putih import (BPI) di Sabah menyatakan kesedian untuk tanggung perbezaan kos selepas bersetuju BPI yang telah dibeli oleh pasaran runcit dan pasar raya sebelum 5 Oktober 2023 dijual pada harga baharu yang telah ditetapkan.
Ini susulan pengumuman subsidi yang diberikan kerajaan sebanyak RM950 per tan metrik mulai 5 Oktober 2023 bagi BPI di Sabah termasuk Labuan dan Sarawak, BPI diturunkan pada kadar RM31 bagi kampit 10 kilogram (kg).
Persetujuan itu dicapai ketika Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Chan Foong Hin menjalankan tinjauan harga beras putih import (BPI) di pasaraya sekitar Kota Kinabalu, Sabah.
KPKM menerusi kenyataan berkata, pihak pemborong di Sabah seperti Sazarice Sdn. Bhd. telah bersetuju supaya BPI yang telah dibeli oleh pasaran runcit dan pasar raya sebelum 5 Oktober 2023 dijual pada harga baharu yang telah ditetapkan.
“Perbezaan kos akan ditanggung oleh pihak pemborong berkenaan.
“Task Force Operasi Bersepadu beras putih tempatan (BPT) telah bermula pada 5 Oktober 2023 di Selangor dan akan diperluaskan ke seluruh negara.
“Task Force ini memberi fokus kepada pemeriksaan dan penguatkuasaan di semua peringkat rantaian pembekalan,”menurut KPKM.
KPKM berkata, pihaknya menegaskan bahawa semua pemegang Lesen Borong Beras dan Lesen Runcit Beras hendaklah mematuhi Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan peraturan-peraturan di bawahnya.
Tinjauan harga BPI berkenan turut disertai Pengarah Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Negeri Sabah Tuan AB Alim Multazam. – Edisi 9