ISU kualiti padang Stadiuam Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang kurang memuaskan pada aksi antara Malaysia dan India malam tadi mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
TMJ yang merasmikan padang baharu itu Khamis lalu berpendapat, rumput baharu yang ditanam perlu diberikan lebih masa agar akarnya menjadi lebih kuat, sekali gus mengelakkannya daripada tercabut.
Namun jelas pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, padang tersebut sepatutnya diberikan lebih masa sekurang-kurangnya dua hingga tiga bulan sebelum boleh digunakan.
“Tetapi pasukan kebangsaan hendak pakai secepat mungkin. Itu atas keputusan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan pihak stadium. Kalau saya, saya beri lebih masa. Kontraktor ini kontraktor yang sama buat padang JDT.
“Semasa majlis penyerahan padang saya cakap yang padang ini perlu lebih masa kerana akar belum kuat. Saya juga sampaikan kepada semua yang padang tersebut akan terkopak esok semasa perlawanan,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Dalam aksi malam tadi menyaksikan banyak rumput di padang tercabut sehingga mengganggu pergerakan bola.
Lebih memburukkan keadaan, satu daripada sepakan penjuru yang diperolehi India terus tersepak keluar kerana terganggu oleh rumput padang yang tercabut.
Sementara itu, TMJ berkata, rumput jenis Zeon Zoysia yang digunakan di SNBJ merupakan antara produk yang terbaik namun memerlukan penjagaan yang sewajarnya.
“Tiada beza. Rumput sama, kontraktor sama. Bezanya di SNBJ tak ada TMJ di situ, itu aja. FAM kalau nak pakai SSI cakap saya siapkan,” katanya. – Edisi 9