POLIS telah membuka kertas siasatan membabitkan kes orang kena tahan (OKT) dipukul oleh anggota polis ketika dalam tahanan sepertimana tular di media sosial, kelmarin.
Perkara itu, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sedang dilengkapkan (kertas siasatan) sebelum merujuk kepada pihak Jabatan Peguam Negara.
“Polis juga memberi jaminan akan menyiasat perkara itu dengan adil tanpa melindungi mana-mana pihak.
“Kita sudah membuka kertas siasatan, Ketua Polis Daerah Klang Selatan juga sudah membuat sidang media. Jadi kita akan lebih telus dan lebih komitmen serta adil dalam menyiasat perkara ini.
“Saya sudah sampaikan perkara ini kepada Ketua Polis Selangor, jadi kita akan dapat tahu siasatan itu dan apabila lengkap kita akan hantar kepada AG (Peguam Negara) bagi cadangan,” katanya pada Majlis Sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Marin ke 76 di Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Batu Uban, Georgetown hari ini.
Terdahulu, rakaman video mengenai insiden pukul OKT di dalam tahanan berkenaan tular di aplikasi Telegram.
Menerusi video tular itu, seorang daripada dua individu yang disyaki anggota polis dilihat memijak lutut seorang lelaki dipercayai OKT manakala seorang lagi bertindak melibas tapak kaki OKT.
Kertas siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dibuka berhubung tangkapan berkenaan dan OKT itu juga sudah dituduh di Mahkamah Klang pada 8 Ogos 2022.
Sementara itu, ketika mengulas mengenai perkembangan kes 43 rakyat Malaysia yang diselamatkan di Peru selepas menjadi mangsa pemerdagangan manusia, Razarudin berkata, ia sedang diuruskan pihak Kementerian Luar bagi dibawa pulang.
“Saya tidak mahu bercakap panjang atau membuat spekulasi disebabkan kita akan mengambil dan menemubual mereka sebaik balik ke Malaysia dengan usaha oleh pihak Kementerian Luar.
“Jadi saya tidak mahu komen (mengenai) ini lagi, bila dia (mereka) balik (ke Malaysia), kita akan siasat dan dalam masa sama kita sedang mengumpul risikan itu,” katanya lagi
Menerusi laporan media sebelum ini, kesemua mangsa yang terdiri daripada 26 wanita dan 17 lelaki berusia 30-an, ditahan dalam serbuan oleh polis Republik Peru di sebuah rumah di La Molina, Lima pada Sabtu lepas kerana disyaki terbabit dengan sindiket Macau Scam. – Edisi 9