26.1 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 5, 2024

Belanjawan 2024: KKR sasar bangun negara secara mampan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) menyasarkan matlamat untuk membangunkan negara secara mampan menerusi inisiatif Belanjawan 2024 yang akan menyumbang kepada peningkatan peluang pekerjaan, perniagaan dan pelaburan serta pertumbuhan ekonomi bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, secara keseluruhan, KKR menerima RM9.511 bilion peruntukan bagi tahun 2024,
iaitu kenaikan 12.7 peratus berbanding RM8.439 bilion yang diterima pada tahun 2023.

“Jumlah bajet mengurus KKR yang diluluskan adalah sebanyak RM949.37 juta iaitu kenaikan sebanyak 9.72 peratus berbanding RM865.27 juta yang diterima untuk tahun 2023.

“Manakala bajet pembangunan tahun 2024 yang diluluskan adalah sebanyak RM8.561 bilion berbanding RM7.573 bilion pada tahun 2023 dengan kenaikan sebanyak 13.05 peratus.

“Setakat Ogos 2023, lebih 4,100 jalan berlubang di Jalan Persekutuan telah dikenal pasti dan dibaik pulih.

“Kerajaan komited memastikan tindakan diambil dalam tempoh 24 jam setelah menerima aduan jalan berlubang di Jalan Persekutuan.

“Justeru, bagi memastikan jalan raya dalam keadaan terbaik untuk kegunaan rakyat, sebanyak RM2.8 bilion disediakan untuk menyelenggara jalan dan jambatan persekutuan selari hasrat KKR untuk terus memperkasakan Kempen MYJalan KKR,”katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebanyak RM300 juta pula dikhususkan kepada kontraktor kecil Bumiputera G1 hingga G4 yang layak dan berdaftar dengan CIDB melalui Kerja Undi dan Arahan Kerja bagi mengelakkan kesenjangan peluang dan turut memperbaiki ruang pembangunan semula kemampanan kontraktor untuk terus berdaya saing dalam era revolusi industri.

“Khidmat Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) akan terus diperkasa bagi menangani aduan kecil dan luar jangka melibatkan Jalan Persekutuan dalam kadar segera.

“Kerajaan akan meningkatkan peruntukan kepada RM200,000 berbanding RM100,000 kepada 115 jurutera daerah dengan peruntukan keseluruhan RM30 juta,”katanya.

Dalam pada itu, katanya, bagi menambahbaik aspek kejuruteraan, RM100 juta disediakan bagi menyelenggara lampu jalan termasuk menggantikan kepada jenis LED yang dapat menjimatkan elektrik sehingga 60 peratus.

Advertisements

“Sebanyak RM50 juta juga disediakan untuk merawat kawasan berkemalangan tinggi antaranya menaik taraf lampu isyarat sedia ada kepada lampu isyarat pintar di Jalan Persekutuan yang turut membantu mengurai kesesakan laluan trafik.

“Ketersambungan jaringan jalan yang baik memudahkan pergerakan rakyat di samping
melancarkan aktiviti para pedagang dan menjana ekonomi setempat.

“Projek-projek infrastruktur utama jalan raya akan terus diperhebat seperti Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak yang bakal siap sepenuhnya tahun hadapan.

“Sementara itu, proses tender bagi 19 pakej kerja untuk projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B dengan jajaran 366 kilometer (km) melibatkan kos RM15.7 bilion akan diselesaikan bulan November ini.

“Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2 dengan jajaran lebih 320 km melibatkan kos hampir RM7.4 bilion juga akan mula dilaksanakan penghujung tahun ini.

Selain itu, Alexander berkata, mengambil kira keperluan peningkatan kenderaan, projek pelebaran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) daripada empat kepada enam lorong dilanjutkan dari Sedenak ke Simpang Renggam, Johor dengan kos RM931 juta sepanjang 18 km.

“Dengan siapnya pembinaan lorong tambahan ini, ia dapat mempertingkatkan keselamatan dan keselesaan kepada rakyat dengan penjimatan masa sehingga 25 minit daripada 40 minit tempoh masa perjalanan sedia ada serta mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

Kerajaan katanya, komited dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan bagi mengekang tragedi tanah runtuh.

“Justeru, kerajaan menyediakan RM563 juta bagi pembaikan cerun seluruh negara termasuk untuk program pemantauan, pencegahan dan pelaporan serta amaran awal melibatkan lebih 2,000 cerun yang berisiko tinggi.

Ujar beliau, Belanjawan 2024 merupakan langkah awal dalam perjalanan pembaharuan Malaysia ke arah mencapai Ekonomi MADANI.

“Bagi memastikan kejayaannya ia memerlukan pendekatan seluruh warga Malaysia yang terdiri daripada rakyat, kerajaan dan industri yang disulami dengan semangat perpaduan, tatakelola yang baik (membanteras rasuah) serta sistem penyampaian awam yang tangkas dan kolaboratif,”kata beliau. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan