SYARIKAT perisian dan perkhidmatan penyelesaian keselamatan siber dari Kanada, BlackBerry bakal membuka Pusat Kecemerlangan Keselamatan Sibernya di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, perkara itu disampaikan ketika kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia, Wayne Robson serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif BlackBerry Cybersecurity, John Gianmatteo, semalam.
“Dalam pertemuan ini, Gianmatteo memaklumkan hasrat BlackBerry untuk menopang pertumbuhan ekonomi negara menerusi kolaborasi bersama Malaysia.
“Ini termasuklah cadangan pembukaan Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber BlackBerry yang pertama di rantau Asia Pasifik,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa), Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin.
Perdana Menteri berkata, beliau turut menyatakan pendirian Malaysia untuk terus membuka peluang dan memudah cara pelaburan berkualiti yang ingin dibawa pihak luar.
“Moga komitmen dan usaha bersepadu yang sedang dilaksana Kerajaan Perpaduan dalam menstruktur ekonomi dapat menarik minat lebih ramai pelabur asing,” katanya. – Edisi 9