25.9 C
Kuala Lumpur
Monday, May 13, 2024

Ramanan gesa Tun M henti kenyataan gugat perpaduan

Mesti Baca

TIMBALAN Ketua Penerangan I PKR menggesa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhenti daripada membuat sebarang kenyataan yang boleh menggugat perpaduan negara yang berbilang kaum.

Datuk R Ramanan berkata, ia berikutan kenyataan terkini Dr Mahathir yang mahu sistem sekolah vernakular di negara ini, dimansuhkan.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh itu turut mengakui kesal dengan kenyataan Dr Mahathir yang didakwa berbaur hasutan, biarpun sekolah vernakular ditubuhkan sejak negara mencapai kemerdekaan dan dibiayai kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) itu turut mengundang Dr Mahathir untuk menilai tahap perpaduan yang terjalin dan dipupuk menerusi program dan silibus diajar di sekolah vernakular.

Katanya, penggunaan bahasa Malaysia digunakan secara meluas di sekolah vernakular, namun Dr Mahathir lebih cenderung untuk menjumudkannya dari aspek perkauman, dipercayai bertujuan untuk kekal dilihat relevan.

Beliau juga turut mempersoalkan sama ada cucu Dr Mahathir mendapatkan pendidikan di sekolah kerajaan atau sebaliknya didaftarkan di sekolah swasta atau antarabangsa.

“Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil, masing-masing memainkan peranan dalam pembentukan negara, selain terdapat lebih 100,000 pelajar Melayu, Bumiputera dan India yang berdaftar untuk belajar di situ.

“Ada lepasan sekolah vernakular yang berjaya dan memiliki kerjaya di peringkat tertinggi dalam perjawatan kerajaan serta sektor swasta.

Advertisements

“Dr Mahathir yang sudah mencecah usia 98 tahun sepatutnya memainkan peranan memperkukuh perpaduan antara kaum, bukannya memecahbelahkan masyarakat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian pada sesi soal jawab Majlis Ilmu ‘Peradaban dan Sosiologi’ di Putrajaya semalam, dilaporkan secara terbuka mahu sistem sekolah vernakular di negara ini dihapuskan.

Beliau yang juga bekas Pengerusi PEJUANG berkata, tindakan itu adalah kaedah terbaik bagi menghapuskan jurang perkauman menerusi pendidikan.

Namun begitu, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu ketika bercakap pada Persidangan Meja Bulat: Penjenamaan Semula Naratif Politik Melayu pada 28 Julai 2022, mendakwa tidak wajar idea sekolah vernakular ditutup diberi keutamaan.

Dalam pada itu, Ramanan berkata, pelaksanaan sistem sekolah vernakular turut memberi peluang kepada rakyat mempelajari bahasa Mandarin dan Tamil yang sekali gus menjadi aset linguistik.

Katanya, penguasaan bahasa berkenaan mampu menjadi nilai tambah kepada individu terbabit kerana China dan India ketika ini muncul sebagai antara kuasa ekonomi utama dunia.

“Sangat mendukacitakan apabila Dr Mahathir masih mengulangi golongan bukan Melayu sebagai ‘pendatang’ biarpun selepas Malaysia menyambut kemerdekaan kali ke-66 tahun ini.

“Bukan sekolah vernakular yang menggugat perpaduan negara, sebaliknya ia berpunca daripada ahli politik seperti Dr Mahathir,” katanya lagi. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

SU Politik PM kecewa Malindo Air tutup pintu pelepasan lebih awal

SETIAUSAHA Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin kecewa apabila pesawat Malindo Air yang mahu...

Lagi Artikel Berkaitan