PLUS bersiap sedia menghadapi peningkatan trafik yang dijangka mencecah sehingga 1.9 juta kenderaan sehari pada Hari-hari Puncak di Lebuhraya Utara-Selatan di antara hari ini hingga esok.
Ini bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih selesa ketika pulang ke kampung atau menuju ke lokasi pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.
Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz, berkata, orang ramai khususnya yang ingin pulang ke kampung halaman atau menuju ke lokasi mengundi masing-masing dinasihatkan untuk membuat persiapan rapi dan merancang perjalanan dengan lebih baik untuk pulang dan kembali semula ke ibu kota semasa tempoh berkenaan.
“Pengguna lebuh raya juga perlu menjangka akan menghadapi tempoh perjalanan yang lebih panjang di lebuh raya berikutan peningkatan kenderaan berbanding hari-hari biasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, persediaan ini turut merangkumi aspek pengurusan operasi serta kemudahan lebuh raya di plaza tol dan kawasan rehat dan rawat (R&R) agar kesemuanya berada pada tahap yang terbaik untuk menerima pertambahan kenderaan di lebuh raya.
“Pada masa yang sama, PLUS juga menghentikan sementara kerja-kerja penyelenggaraan, naik taraf atau pembinaan yang memerlukan penutupan lorong di lebuh raya bermula hari ini sehingga 13 Ogos, kecuali membabitkan kerja-kerja kecemasan seperti pengalihan kenderaan yang terbabit di dalam kemalangan, pembersihan lokasi kemalangan dan kerja kerja pembaikan yang kritikal,” katanya.
PLUS akan memastikan semua kemudahan awam seperti tandas, surau serta stesen minyak di kawasan rehat dan rawat (R&R) serta hentian sebelah beroperasi 24 jam sehari untuk menampung kehadiran pengunjung.
Pengguna lebuh raya juga digalakkan untuk berhenti rehat setiap dua jam pemanduan dan menikmati pelbagai pilihan makanan dan minuman yang disediakan oleh rakan niaga mereka di R&R sebelum menyambung semula perjalanan.
Dengan memuat turun Aplikasi PLUS, pengguna lebuh raya boleh merancang perjalanan dan mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya.
Pengguna lebuh raya disaran menggunakan Aplikasi Waze atau Google Maps untuk merancang perjalanan mereka. – Edisi 9